Home Hiburan ZAHNITA WILSON SAH BERTUNANG

ZAHNITA WILSON SAH BERTUNANG

KUALA LUMPUR: Pelakon dan model, Zahnita Wilson mengesahkan sudah mengikat tali pertunangan dengan seorang jejaka dalam satu majlis yang berlangsung baru-baru ini.

Memetik laporan Berita Harian, bagaimanapun, Zahnita memilih untuk terus merahsiakan identiti lelaki yang berjaya menambat hatinya.

Sebaliknya, ibu kepada empat cahaya mata itu hanya mendedahkan pangkal huruf nama tunangnya iaitu ‘F’.

“Ya, saya sudah bertunang. Alhamdulillah, saya kini berada dalam fasa bahagia.

“Buat masa ini, saya belum bersedia memperkenalkan siapa dia kepada umum. Dia bukan orang industri. Cukuplah saya beritahu nama pangkalnya ialah ‘F’,” katanya ketika ditemui pada acara Kuala Lumpur Fashion Week 2026 menampilkan Rizman Ruzaini di sini, semalam. 

Menurut Zahnita, tunangnya berstatus duda tanpa anak dan bukan daripada kalangan penggiat seni. 

Katanya, lelaki itu berjaya menawan hatinya kerana bersifat penyayang, mudah berkomunikasi dan sentiasa memahami dirinya.

“Dia seorang yang sangat memahami saya. Kami mudah berkomunikasi dan itu antara perkara yang membuatkan saya yakin untuk melangkah ke fasa seterusnya,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Zahnita berkata, dia membuat keputusan menyerahkan hak penjagaan keempat-empat anaknya kepada bekas suami, Abdul Zackery Ghouse Abdul Gafor secara sukarela kerana percaya ia adalah pilihan terbaik demi masa depan mereka.

“Saya serahkan hak penjagaan anak kepada bekas suami dengan rela hati kerana saya percaya dia mampu menjaga mereka dengan baik.

“Saya sudah melepaskan apa yang berlaku pada masa lalu dan saya juga sudah memaafkannya.

“Saya merasakan dia lebih berkemampuan daripada segi kewangan, manakala saya pula belum mempunyai pendapatan yang benar-benar stabil. Semua ini saya lakukan demi masa depan anak-anak,” katanya.

Zahnita berkata, walaupun hak penjagaan diserahkan kepada bekas suami, dia masih boleh bertemu anak-anak pada bila-bila masa.

“Saya boleh berjumpa mereka pada bila-bila masa. Kami tidak banyak berkomunikasi, namun segala urusan berkaitan anak-anak tetap dibincangkan jika perlu,” katanya.

Mengakui keputusan itu bukan sesuatu yang mudah, Zahnita berkata, sebagai ibu, dia tetap melalui saat-saat sukar apabila berjauhan dengan anak-anak.

“Sudah tentu saya sedih. Ibu mana yang tidak sayangkan anak-anak?

“Tetapi saya percaya masa depan mereka lebih terjamin bersama bapa mereka. Saya terpaksa mengetepikan ego demi kebahagiaan mereka.

“Ada masanya saya menangis kerana terlalu rindukan mereka. Namun, saya sedang belajar menerima kehidupan baharu dan menghargai masa untuk diri sendiri,” katanya.

Terdahulu, Zackery memaklumkan pelakon itu menyerahkan hak penjagaan kekal keempat-empat anak mereka kepadanya menerusi satu kenyataan di Instagram (IG), baru-baru ini.

Zahnita atau Zahnita Doroty Hussein Wilson, 41, mendirikan rumah tangga pada 2005 namun berpisah pada Ogos 2025.

Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan empat orang cahaya mata iaitu Zahrafeena, 19, Zasharayna Ghouse, 14, Zahlia Syawwal, 9 dan Abd Zayden Ghouse, 5 tahun. – BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here