NEW YORK: Rosé Blackpink mencipta kemenangan bersejarah apabila lagu nyanyiannya bersama Bruno Mars, APT dinobatkan sebagai Lagu Terbaik di Anugerah Video Muzik MTV (VMA) yang berlangsung di Arena UBS di Elmont, di sini, hari ini.
Memetik laporan AGENSI menerusi Harian Metro, Rosé, 28, menarik perhatian apabila menyediakan ucapan yang cukup menyentuh sewaktu menerima trofi terbabit. Dia kemudian turut berkongsi satu anekdot mengenai ketakutan terbesarnya dalam hidup.
“Saya sudah menyediakan sesuatu kerana saya tidak mahu merosakkannya. Saya rasa ini adalah detik yang sangat besar untuk saya dan ramai orang lain.
“Saya sedar ketakutan terbesar saya adalah apabila saya menemui jalan buntu dan mengecewakan diri saya yang berusia 16 tahun.
“Dia (Rose) adalah seorang yang ganjil dalam kalangan masyarakat berharap suatu hari nanti, dia juga boleh menjadi dirinya sendiri dan mengejar impiannya sama seperti orang lain saya lihat di TV,” katanya.
Rose tidak lupa berterima kasih kepada ahli kumpulan Blackpink dalam bahasa Inggeris dan Korea, selain ahli keluarga dan seluruh pasukan pengurusannya.
“Seperti yang ahli terapi saya suruh lakukan setiap hari, saya ingin berterima kasih kepada diri saya sendiri kerana tidak berputus asa, walaupun pada masa yang paling sukar,” katanya.
Malam terbabit adalah satu kejayaan besar buat bintang itu, yang dicalonkan dalam lapan kategori secara keseluruhan. Pencalonan itu termasuk dua kategori utama dalam majlis anugerah berprestij berkenaan.
Lagu APT adalah antara karya yang mendapat pencalonan paling banyak dan kerjasama itu berjaya dicalonkan dalam tujuh kategori berbeza yang membabitkan aspek teknikal dan populariti.
“Ini adalah detik yang sangat besar untuk diri saya dan ramai orang lain,” katanya.
APT turut dicalonkan untuk kategori Video Terbaik, Kolaborasi Terbaik, Lagu Pop Terbaik, Arahan Terbaik, Arahan Seni Terbaik dan Kesan Visual Terbaik.
Selain itu, sebuah lagi lagu solo Rosé yang berjudul toxic till the end turut menerima pencalonan dalam kategori Lagu K-Pop Terbaik, melengkapkan malam yang gemilang untuk penyanyi terbabit.
VMA dihoskan penyanyi rap dan pelakon, LL Cool J. – AGENSI, HMetro Online –






