KAJANG: Pelakon veteran, Ebby Yus yang menghidap komplikasi buah pinggang dan jantung, melahirkan perasaan gembira apabila impian untuk memiliki ‘camper van’ akhirnya menjadi kenyataan.
Memetik laporan Harian Metro, Ebby atau nama sebenarnya Muhammad Yunus Abdul Rashid, 61, berkata dia tidak menyangka pembabitan sebagai pencipta kandungan di syarikat pembuatan pintu merealisasikan impiannya yang sudah lama dipendam.
“Saya anggap ini sebagai satu keajaiban. Saya sebenarnya perlukan camper van bagi memudahkan urusan rawatan dan kerja. Bagaimanapun, cara saya memperoleh kenderaan ini cukup tak disangka.
“Seorang pembeli Mohd Firdaus Zainal Abidin bertanya kepada pemilik syarikat pembuatan pintu, Ku Zaki Ku Mansor bagaimana nak dapatkan sundang kerana dia adalah pengumpul senjata tradisional.
“Ku Zaki kemudian mempertemukan kami berdua kerana Firdaus dulu pernah ikuti perkembangan saya, tapi tiada cara nak hubungi saya,” katanya kepada Harian Metro.
Katanya, Firdaus datang ke rumahnya bersama isteri lalu bertanya kenapa mahu menjual sundang berkenaan walaupun sayang kerana memilikinya sejak 20 tahun lalu.
“Saya jelaskan perlu sebuah camper van sebab kalau nak pergi shooting atau pergi buat content atau apa sahaja, saya susah nak ‘lari’ balik rumah untuk buat dialisis air.
“Saya buat sendiri dialisis air tiga kali sehari iaitu pagi, petang dan malam. Jadi kalau ada camper van, saya boleh buat dekat situ saja. Firdaus ambil banyak barang dan kata dia nak tolong saya,” katanya.
Menurutnya, ketika berbual, dia tanya nak buat macam mana camper van dan beritahu pelan namun memaklumkan belum cukup modal.
Katanya, Firdaus kemudian meminta pembantunya, Kecik mencari kereta yang sesuai lalu membayar harganya, manakala Ku Zaki pula menaja kos ubah suai kenderaan itu sepenuhnya menjadi camper van.
“Memang saya terkejut dan seakan tak percaya. Syukur sebab waktu sihat dulu memang saya tak terfikir benda ini. Sekarang barulah saya sedar betapa pentingnya kenderaan ini untuk saya.
“Bila sudah sakit dan susah nak balik kampung, tiba-tiba terfikir. Kalau ada benda macam ini, saya boleh berada lebih lama di kampung. Tak perlu cepat-cepat balik hanya kerana perlu rawatan,” katanya. – HMetro Online –
IMedikel TV






