Oleh: Wartawan IMedikel TV
JOHOR BAHRU: Pelajar Sekolah Rintis Bangsa Johor (SRBJ), Sekolah Kebangsaan Tasek Utara, Johor Bahru, Wan Harriz Wan Abdul Qayyum, 10 mengharumkan nama Johor dan Malaysia dipentas dunia, apabila berjaya meraih Tempat Pertama (1st Place) dalam Play-Off Qualifier Round, Hippo English The Contest 2026 di Doha, Qatar, pada 2 hingga 9 Ogos lalu.
Kejayaan tersebut melayakkan pelajar kelas 4 Sapphire ini mara ke World Final Round yang akan berlangsung di Spoleto, Itali pada Oktober 2026.
Hippo English Without Borders merupakan pertandingan bahasa Inggeris yang diiktiraf di peringkat antarabangsa untuk murid dan pelajar berusia 6 hingga 19 tahun, dengan penyertaan lebih daripada 90,000 peserta dari lebih 70 buah negara.
Pertandingan ini juga selaras dengan Common European Framework of Reference for Languages (CEFR) dan menilai kemahiran membaca, menulis, mendengar, bertutur serta tatabahasa.
Dalam pertandingan itu, tempat kedua dimenangi oleh murid dari Arab Saudi, manakala tempat ketiga menjadi milik peserta dari Kyrgyzstan.
Sebanyak 14 peserta telah bertanding dalam Pusingan Kelayakan, termasuk dua peserta yang mewakili Malaysia.
Seorang lagi peserta Malaysia, Eshant Ashvik Shashidara dari SK Infant Jesus Convent, Johor Bahru, menduduki tempat ke-5 dalam pusingan penentuan kelayakan (play-off) dan tidak mara ke Pusingan Akhir Dunia.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor, Dr. Muhammad Naqib Md Ghazali merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada Wan Harriz atas pencapaian membanggakan itu.
Katanya pencapaian ini sangat selaras dengan Teras 1 SRBJ: Penguasaan Bahasa Inggeris.
“Teras itu juga memperkukuh aspirasi SRBJ untuk melahirkan murid yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik, malah memiliki keyakinan diri, kemahiran komunikasi yang mantap, dan keupayaan untuk bersaing di peringkat antarabangsa.
“Tidak dilupakan, saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada ibu bapa, guru-guru dan pihak sekolah yang sentiasa memberikan sokongan serta bimbingan kepada Wan Harriz.
“InsyaAllah, saya mewakili Kerajaan Negeri Johor akan sentiasa memberikan sokongan kepada adik Wan Harriz serta mendoakan agar terus cemerlang dan berjaya membawa nama Johor dan Malaysia lebih jauh di pentas dunia,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
IMedikel TV






