KUALA LUMPUR: Kumpulan rap wanita popular era 1990-an, Res2 yang popular dengan lagu Kepastian dan Pengertian disahkan bakal beraksi pada konsert kumpulan 4U2C, iaitu WE 4U2C Live In Concert di Idea Live Arena, Petaling Jaya, pada 15 September depan.
Memetik laporan Berita Harian, pengurus ahli kumpulan 4U2C, Datuk AC Mizal, iaitu isterinya, Datin Emylia Rosnaida mengesahkan kemunculan Res2 pada konsert berkenaan.
Emylia atau nama penuh Emylia Rosnaida Abdul Hamd, 49, berkata pemilihan Res2 dibuat kerana mereka antara kumpulan rap wanita yang handal menari.
“Kalau kita imbas kembali era 1990-an dahulu, Res2 yang menari secara ‘hardcore’. Jadi, kita hendak seimbangkan dengan 4U2C.
“Lagipun, pada 2020, 4U2C ada cadangan mementaskan konsert di Singapura dan ketika itu, Res2 dicadang menjadi penyanyi undangan.
“Namun, disebabkan pandemik COVID-19, konsert itu terpaksa dibatalkan,” katanya kepada BH Online.
Res2 ditubuhkan pada akhir 1992 ketika demam muzik hip hop melanda Malaysia.
Pada awal kemuncalan, Res2 dibarisi Erin, Baby Arin, Ezza, Yati dan Wati.
Emylia bersyukur usaha memujuk anggata Res2 muncul pada konsert 4U2C, dipermuudahkan.
“Sebelum pengumuman konsert, kami bertemu Baby Arin untuk berbincang mengenai perkara ini. Tidak dinafikan dia ambil masa untuk meyakinkan anggota Res2 lain.
“Bagaimanapun, dalam tempoh tiga hari, Baby beritahu mereka bersetuju untuk terbabit dalam konsert itu… Saya sangat bersyukur,” katanya.
Ditanya adakah ada segmen duet antara 4U2C dan Res2, Emylia lebih selesa perkara itu menjadi kejutan.
“Biarlah jadi kejutan buat semua. Kalau hendak tahu kena datang konsert,” katanya lagi.
Sementara itu Emylia turut meluahkan rasa syukur kerana kontroversi membabitkan WE 4U2C Live In Concert anjuran Juss Event Sdn Bhd itu, selesai.
Enggan memanjangkan cerita, Emylia berkata, fokus kumpulan yang terkenal dengan lagu Fiona itu ketika ini hanyalah kepada sesi latihan nyanyian dan tarian.
“Kami tidak mahu panjangkan cerita. Seperti yang pernah dinyatakan, kami pentaskan konsert ini demi memenuhi permintaan anak-anak yang teringin melihat Daddy mereka beraksi di pentas besar.
“Kami mahu cipta kenangan bersama anak-anak melalui konsert itu. Ini sekadar konsert reunion, bukannya 4U2C hendak kembali menyanyi,” katanya. – BH Online –
IMedikel TV






