Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
CYBERJAYA: Pengguna media sosial berusia bawah 16 tahun tidak lagi dibenarkan mendaftar akaun baharu atau mengakses platform media sosial berlesen susulan penguatkuasaan Kod Perlindungan Kanak-Kanak (Child Protection Code, CPC) dan Kod Pengurangan Risiko (Risk Mitigation Code, RMC) oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mulai 1 Jun lalu.
MCMC dalam kenyataan baru-baru ini memaklumkan, langkah itu dilaksanakan di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA) bagi memperkukuh perlindungan kanak-kanak serta mewujudkan persekitaran digital yang lebih selamat di negara ini.
Menurut suruhanjaya itu, semua penyedia perkhidmatan media sosial berlesen diwajibkan melaksanakan pengesahan umur pengguna dan hanya individu berumur 16 tahun ke atas dibenarkan mendaftar akaun baharu serta mengakses ciri-ciri perkhidmatan yang bersesuaian.
“Pengesahan umur hendaklah dibuat menggunakan rekod yang dikeluarkan Kerajaan Malaysia atau dokumen setara yang diiktiraf oleh kerajaan.
“Mulai 1 Jun, pemberi perkhidmatan media sosial berlesen hendaklah memastikan hanya pengguna yang berumur 16 tahun dan ke atas dibenarkan mendaftar akaun serta mengakses mana-mana ciri perkhidmatan yang bersesuaian dengan umur mereka,” menurut kenyataan itu.
Menurut kenyatta itu lagi, bagi pengguna sedia ada, proses pengesahan umur akan dilaksanakan secara berperingkat dalam tempoh sehingga enam bulan oleh penyedia platform media sosial berkaitan.
“Pengguna yang dikenal pasti berumur bawah 16 tahun akan diberikan tempoh selama sebulan untuk memuat turun atau memindahkan data mereka, termasuk gambar dan video, sebelum sebarang sekatan, penggantungan atau tindakan lain dikenakan oleh platform berkenaan.
“Keperluan pengesahan umur itu terpakai kepada perkhidmatan media sosial berlesen termasuk Facebook, Instagram, TikTok dan YouTube, susulan kebimbangan yang semakin meningkat terhadap aspek keselamatan dalam talian serta perkembangan kanak-kanak,”katanya.
Menurut MCMC, CPC mewajibkan penyedia platform melaksanakan langkah keselamatan dalam reka bentuk (safety by design) dan perlindungan yang bersesuaian mengikut umur pengguna.
Pada masa sama, RMC mewajibkan penyedia perkhidmatan melaksanakan langkah perlindungan secara proaktif termasuk menjalankan penilaian risiko, memperkukuh penyederhanaan kandungan, menyediakan kawalan keselamatan pengguna serta meningkatkan akauntabiliti platform.
MCMC akan terus bekerjasama rapat dengan semua pihak berkepentingan, pemain industri dan masyarakat bagi memupuk persekitaran dalam talian yang lebih selamat dan bertanggungjawab.
IMedikel TV






