Home Buletin Semasa UBAH SUAI TANGKI, KPDN GAGALKAN CUBAAN SELUDUP 100 LITER PETROL

UBAH SUAI TANGKI, KPDN GAGALKAN CUBAAN SELUDUP 100 LITER PETROL

43
0

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

TUMPAT: Cubaan untuk menyeludup petrol ke negara jiran gagal apabila Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan menyita sebuah kereta yang diubah suai serta 100 liter petrol dalam Ops Tiris 4.0 (Bersepadu) di Kampung Geting, di sini, padsa Selasa.

Serbuan kira-kira jam 8.02 pagi itu dilakukan sepasukan anggota Unit Risikan dan Tindakan Khas (URTK) KPDN Kelantan dengan kerjasama Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 3 Pengkalan Kubor.

Pengarah KPDN Kelantan, Hanif Yusabra Yusuf berkata, operasi tersebut dijalankan selepas pihak penguat kuasa mengesan sebuah Proton Iswara bernombor pendaftaran tempatan yang disyaki terlibat dalam aktiviti penyeludupan petrol ke kawasan sempadan.

“Pasukan penguat kuasa kemudian mengekori kenderaan terbabit dari sebuah stesen minyak di Terbak sebelum ia berhenti di hadapan sebuah rumah di Kampung Geting.

“Bagaimanapun, suspek dipercayai berjaya melarikan diri sebaik serbuan dilakukan.

“Hasil pemeriksaan mendapati tangki minyak kenderaan itu disyaki telah diubah suai bagi membolehkan petrol dibawa dalam kuantiti yang lebih besar, sekali gus dipercayai digunakan untuk tujuan penyelewengan dan penyeludupan barang kawalan bersubsidi,”katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata, sebuah Proton Iswara bersama 100 liter petrol disita dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM3,392.

Kes disiasat mengikut peruntukan Akta Kawalan Bekalan 1961.

KPDN Kelantan akan terus memperhebat pemantauan dan tindakan penguatkuasaan bagi membanteras sebarang aktiviti penyelewengan serta penyeludupan barang kawalan bersubsidi yang menjejaskan kepentingan rakyat dan negara. 

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here