PETALING JAYA: Impian pelakon Fadhli Masoot untuk menjadi sebahagian daripada pementasan ikonik Puteri Gunung Ledang The Musical (PGLM) mungkin belum menjadi kenyataan, namun pengalaman berdepan sendiri penerbit teater tersohor, Puan Sri Tiara Jacquelina, sudah cukup memberi kepuasan buat dirinya.
Malah, kegagalan menempatkan diri dalam produksi berskala besar itu tidak sedikit pun mengecewakan Fadhli, sebaliknya dianggap peluang berharga untuk menguji kemampuan serta memperkenalkan bakatnya kepada nama besar dunia teater tempatan.
Memetik laporan Berita Harian, Fadhli berkata, peluang menghadiri sesi uji bakat itu hadir secara tidak dijangka ketika dia sedang menjalani penggambaran di Terengganu.
“Saya berada di Terengganu ketika itu untuk penggambaran. Ada kawan menghubungi saya dan memberitahu mereka masih mencari seorang pelakon untuk satu karakter.
“Pada mulanya mereka meminta saya menghantar video uji bakat, tetapi kemudian mereka kata lebih baik saya datang sendiri kerana Tiara tidak pernah berjumpa saya secara berdepan,” katanya ketika ditemui di lokasi penggambaran filem HAK: Tuntun atau Tunduk di Pasar Jalan Othman, di sini, baru-baru ini.
Bagaimanapun, Fadhli mengakui dia tidak terlalu yakin untuk mendapatkan watak berkenaan kerana menyedari PGLM mempunyai keperluan tertentu, termasuk aspek penampilan dan nilai komersial.
“Saya rasa watak itu mungkin tidak begitu sesuai dengan saya. Kalau dapat, saya akan usahakan dan beri yang terbaik.
“Tetapi kita tahu apabila bercakap mengenai PGLM, ia sebuah produksi besar. Orang mahu melihat pakej tertentu, termasuk aspek fizikal dan nilai komersial yang mampu menarik perhatian penonton,” katanya.
Atas sebab itu, Fadhli tidak meletakkan harapan terlalu tinggi untuk dipilih walaupun mengakui menyimpan hasrat untuk terbabit dalam pementasan berprestij berkenaan.
“Saya teringin juga, tetapi saya faham kedudukan saya. Kalau ada teater yang menjurus kepada watak orang biasa atau karakter yang dekat dengan diri saya, mungkin saya akan cuba lagi pada masa depan.
“Untuk dunia PGLM, saya cuba lihat di mana ruang yang saya boleh isi,” katanya.
Walaupun gagal mendapat tempat, Fadhli menganggap pengalaman menghadiri sesi uji bakat itu sebagai sesuatu yang cukup bermakna dalam perjalanan seninya.
“Saya puas. Dapat lepaskan geram dan dapat buat persembahan di depan Tiara pun sudah cukup membuatkan saya gembira.
“Saya memang seronok sebab bukan selalu dapat peluang menunjukkan kebolehan secara terus di hadapan individu yang mempunyai pengalaman besar dalam dunia teater muzikal,” katanya.
Menurut Fadhli, sesi uji bakat itu bukan sekadar proses biasa kerana peserta diminta mengulangi nyanyian dan lakonan beberapa kali bagi menguji kemampuan mereka.
“Kami memang kena lenjan apabila disuruh menyanyi berkali-kali. Kemudian saya diminta mencuba babak marah pula dan mengulanginya semula.
“Jadi memang sesi itu sangat mencabar dan memerlukan komitmen yang tinggi,” katanya.
Dalam masa sama, Fadhli turut mendedahkan dia menghadiri satu lagi sesi uji bakat bagi pementasan Mansur & Liu pada hari sama yang membabitkan maestro muzik negara, Datuk M Nasir.
Katanya, pengalaman berdepan M Nasir turut meninggalkan kenangan manis apabila penyanyi dan komposer legenda itu memuji kualiti vokalnya.
“Saya diminta menyanyi dan pada mulanya agak gugup. Tangan saya menggigil sampai telefon yang saya pegang untuk melihat lirik pun bergegar.
“Tetapi selepas saya menyanyi, M Nasir kata suara saya ada jiwa.
“Sejujurnya saya terdiam sebab tidak pernah ada orang cakap perkara itu kepada saya sebelum ini,” katanya.
Walaupun masih belum mengetahui keputusan akhir sesi uji bakat berkenaan, Fadhli menganggap pujian diterima daripada M Nasir sebagai penghargaan besar yang akan terus dikenang sepanjang kerjayanya.
“Bagi saya, itu satu penghargaan yang cukup besar dan akan saya simpan sampai bila-bila,” katanya. – BH Online –
IMedikel TV






