Home Luar Negara JAKTV MOHON MAAF TERSIAR KANDUNGAN LUCAH

JAKTV MOHON MAAF TERSIAR KANDUNGAN LUCAH

40
0

JAKARTA: Saluran televisyen JAKTV memohon maaf selepas secara tidak sengaja menyiarkan kandungan pornografi pada pagi Isnin lalu, dan memaklumkan siasatan sedang dijalankan, lapor The Straits Times.

JAKTV berkata, gangguan siaran itu menyebabkan penayangan kandungan tidak wajar yang tidak memenuhi piawaian penyiarannya.

Memetik laporan Agensi menerusi Harian Metro, difahamkan, video tular berdurasi 37 saat itu menunjukkan, klip seorang lelaki dan seorang wanita melakukan aksi seksual disiarkan dalam mod gambar dalam gambar (picture in picture) pada 9 pagi waktu tempatan.

“Kami memahami bahawa insiden ini menyebabkan ketidakselesaan, kejutan dan kebimbangan, khususnya dalam kalangan keluarga, ibu bapa dan orang ramai yang sedang menonton JAKTV.

“Berdasarkan siasatan awal, video berkenaan bukan sebahagian daripada mana-mana program, kandungan editorial atau siaran rasmi kami,” kata saluran itu. 

Menurutnya, tindakan segera diambil termasuk menghentikan siaran dan menjalankan semakan teknikal secara menyeluruh. 

JAKTV turut menyiasat, punca insiden itu termasuk kemungkinan berlakunya pencerobohan keselamatan dalam sistem penyiaran.

“Susulan itu, pihak kami akan bekerjasama dengan pihak berkaitan bagi memastikan kes itu ditangani dengan sewajarnya, berkesan dan bertanggungjawab.

“Sebagai sebuah institusi penyiaran, JAKTV komited untuk mengekalkan persekitaran siaran yang selamat dan sihat serta mematuhi peraturan penyiaran yang berkuat kuasa,” katanya sambil menambah bahawa pihaknya menghargai perhatian, laporan dan keprihatinan orang ramai.

Insiden yang berlaku pada Hari Pancasila iaitu cuti umum di Indonesia itu menarik perhatian ibu bapa yang memberi amaran kepada orang lain supaya berhati-hati ketika menonton saluran berkenaan.

Sementara itu, seorang pengguna internet di Threads berkata, dia sangat terkejut melihat siaran JAKTV pada pagi itu, dan terus menutup mata anaknya.

Seorang lagi pengguna internet mendakwa, klip terbabit dimainkan selama lebih satu jam.

Pada 2016, seorang lelaki ditahan kerana menggodam papan iklan awam di selatan Jakarta dan menyiarkan video pornografi yang dimainkan selama lima minit sebelum bekalan elektrik diputuskan. – AGENSI, Hmetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here