LOS ANGELES, Amerika Syarikat: Bekas kapten England, David Beckham akan menerima penghormatan bintang di Walk of Fame Hollywood sebagai pengiktirafan terhadap sumbangannya dalam mempopularkan bola sepak di Amerika Syarikat (AS).
Memetik laporan AFP menerusi Berita Harian, majlis penganugerahan kepada bekas pemain berusia 51 tahun itu akan berlangsung pada 12 Jun, dengan kehadiran pelakon terkenal Tom Cruise serta isterinya, Victoria Beckham.
Acara itu dijadualkan berlangsung beberapa jam sebelum perlawanan pertama di bumi AS bagi kejohanan Piala Dunia tahun ini yang dianjurkan bersama oleh AS, Mexico dan Kanada.
Penganjur berkata pengiktirafan dalam kategori hiburan sukan itu hadir tepat pada masanya ketika AS bersiap sedia menjadi tuan rumah Piala Dunia.
Menurut mereka, peranan Beckham dalam meningkatkan populariti bola sepak di Amerika serta pengaruhnya dalam sukan dan budaya global menjadikan pengiktirafan itu amat bermakna.
Sepanjang karier kelabnya, Beckham pernah beraksi bersama Manchester United, Real Madrid, AC Milan, LA Galaxy dan Paris Saint-Germain sebelum bersara pada 2013.
Selepas bersara, beliau turut menjadi pemilik bersama kelab Inter Miami yang kini dibarisi bintang Argentina, Lionel Messi, serta menjuarai Piala MLS tahun lalu.
Beckham turut dianugerahkan gelaran kesatria oleh Raja Charles III dan aktif dalam dunia perniagaan serta penerbitan kandungan menerusi Studio 99. – AFP, BH Online –
IMedikel TV






