Home Sukan REAL MADRID MAKIN HAMPIRI KEJUARAAN LA LIGA

REAL MADRID MAKIN HAMPIRI KEJUARAAN LA LIGA

SAN SEBASTIAN, Sepanyol: Jaringan pemain remaja Turkiye, Arda Guler melonjak Real Madrid menghampiri kejuaraan Sepanyol selepas menang 1-0 di Real Sociedad awal pagi tadi, unggul 14 mata di puncak La Liga.

Selepas kemenangan Clasico ke atas pasukan tangga kedua Barcelona hujung minggu lalu, ia bagaikan satu formaliti buat Madrid untuk merampas semula kejuaraan daripada musuh utama mereka dan Guler membantu mereka untuk semakin menyempurnakan impian itu.

Perancang berusia 19 tahun itu, yang mengharungi musim penuh kecederaan tetapi tampil dalam kesebelasan utama buat kali pertama, mengemudi kemenangan Madrid yang banyak melakukan penggiliran pemain dalam kemenangan sengit di Arena Reale.

Jurulatih Real Madrid, Carlo Ancelotti merehatkan hampir keseluruhan pasukan utamanya dengan aksi separuh akhir pertama Liga Juara-Juara menentang Bayern Munich di gelanggang lawan awal pagi Rabu ini berada dalam fikirannya.

Penjaring terbanyak Jude Bellingham berada di bangku simpanan selepas pulih daripada masalah sakit perut untuk berada dalam senarai skuad pada saat-saat akhir, selain Vinicius Junior, Toni Kroos dan bintang lain.

Sehubungan itu Madrid kurang menyengat di bahagian serangan kecuali gol Guler dengan tuan rumah, yang menghuni tangga keenam lebih banyak mendominasi aksi dalam hujan lebat di San Sebastian.

“Arda menjaringkan satu gol, Arda akan menjadi pemain penting buat kami pada masa depan, tidak diragui dia akan berada di sini tahun depan,” kata Ancelotti kepada wartawan, turut memuji komitmen pasukannya di sebalik penggiliran pemain.

“Agak ketara setiap orang berasakan kami datang ke sini untuk menang besar, satu-satunya yang tidak memikirkan sedemikian adalah pemain,” katanya.

“Saya bangga dengan pemain kerana mereka mempunyai keinginan kuat dan akan terus mengekalkan kemenangan… Saya perlu berterima kasih kepada pasukan dari sudut itu, mereka amat menakjubkan.”

Barcelona berdepan Valencia awal pagi Selasa ini dalam La Liga tetapi kelab Catalunya itu sudah tidak mampu mengejar kejuaraan. – AFP,BH Online –

Imedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here