KUALA LUMPUR: Suara lunak merdu penyanyi veteran, Salamiah Hassan, 73, sering melatari iklan komersial untuk jenama besar di kaca televisyen (TV) dan corong radio sejak 1980-an.
Memetik laporan menerusi berita harian,Lantaran suara sering berkumandang, penyanyi lagu Gelombang itu pernah mendapat jolokan ‘Ratu Jingle’.
Mengimbau semula sejarah pembabitan Salamiah dalam dunia lagu ‘jingle’ atau iklan semuanya bermula apabila pemuzik, Michael Magness bertanya apakan berminat untuk mencuba dengan bayaran RM10 seminit.
Saya masih menyanyi di kelab malam ketika itu. Magness seorang pemuzik bertanya adakah saya minat nak menyanyi lagu iklan komersil.
“Mereka bayar RM10 untuk satu minit dan bagi saya, tawaran ini menarik.
“Lagipun, saya tak perlu fikir soal solekan, dandanan rambut, kena pakai gaun dan kasut tinggi.
“Pakai selipar Jepun ke studio pun boleh. Jadi, saya buat keputusan untuk berhenti menyanyi kelab malam dan tumpu nyanyi iklan sahaja,” imbau Salamiah kepada BH Online.
Ketika itu, Salamiah berkata, tidak ramai penyanyi lagu iklan menyebabkannya menjadi antara paling laris dan rebutan agensi pengiklanan.
Kongsinya, dia boleh menyiapkan rakaman empat hingga lima iklan sehinggakan studio rakaman sudah menjadi rumah kedua buatnya.
Malah, katanya, dua permata hatinya, Atilia Haron dan Raja Ahmad Shah juga membesar di studio. Sehingga anak sulungnya, Atilia turut terjebak menyumbangkan suara sejak berusia 9 tahun.
Bagaimanapun, kata Salamiah, merakamkan lagu iklan tidak semudah disangka.
“Orang mungkin ingat menyanyi setakat 60 saat mesti senang. Tapi, sebenarnya tidak, pekerjaan ini susah
“Jika menyanyi untuk ‘show’, kita boleh nyanyi dengan cara tersendiri, tapi untuk lagu iklan saya kena nyanyi hingga pelanggan puas hati.
“Ada kalanya untuk lagu iklan yang cuma berapa saat saya kena nyanyi hingga enam kali. Kalau menyanyi lagu kanak-kanak, saya kena buat suara orang muda.
“Tapi, apa yang saya belajar, menyanyi lagu iklan menyebabkan nyanyian saya menjadi jelas dan turut mempengaruhi persembahan saya,” katanya.

Kredibiliti Salamiah sebagai penyanyi lagu iklan semakin terserlah apabila ditawarkan melebarkan sayap ke Indonesia sebagai penjaga vokal penyanyi lagu ‘jingle’.
Sebagai ibu tunggal dengan dua anak yang masih belajar, pendapatan diperoleh digunakan untuk menampung pengajian Atilia dan Raja Ahmad Shah yang masih menuntut di kolej.
“Saya ditawarkan bekerja dengan produksi menghasilkan lagu iklan di Indonesia selama dua tahun.
“Apa yang menyeronokkan, saya dibayar dalam mata wang Dollar Amerika Syarikat (USD). Sepanjang dua tahun menetap di Indonesia, sewa rumah turut ditanggung syarikat.
“Sepanjang di Indonesia, saya berkesempatan bertemu dengan beberapa penyanyi terkenal termasuklah Harvey Malaihollo.
“Di Indonesia, penyanyi lagu iklan dibayar terus, berbeza dengan Malaysia. Ini kerana saya terpaksa menunggu antara dua hingga tiga bulan barulah dapat upah,” katanya.
Bagaimanapun, Salamiah berkata, dia terpaksa membuat keputusan berhenti dan kembali ke Malaysia selepas dua tahun.-BH ONLINE-
Imedikel TV






