Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
BUKIT KAYU HITAM: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) merekodkan rampasan petrol dan diesel yang cuba diseleweng bernilai lebih RM32.08 juta menerusi Ops Tiris 3.0 bermula 1 Januari 2024 hingga Jumaat lepas.
Timbalan Ketua Pengarah Penguat Kuasa (Operasi) KPDN, Shamsul Nizam Khalil berkata, sepanjang tempoh itu pihaknya menjalankan sebanyak 38,615 pemeriksaan dan mengesan 1,371 kes dengan 667 tangkapan.
Menurutnya, perbuatan menyeleweng subsidi negara merupakan satu bentuk pengkhianatan kepada negara.
Beliau berkata, KPDN akan memastikan kestabilan bekalan petrol dan diesel terus terjamin di pasaran meskipun berdepan ketidaktentuan geopolitik akibat konflik yang semakin meruncing di Asia Barat.
Tambahnya, KPDN turut merangka strategi sekiranya berlaku gangguan bekalan bahan api global yang boleh memberi kesan kepada ekonomi negara.
“Selari dengan inisiatif kelangsungan tenaga, bermula 1 April ini, kita akan menguatkuasakan sepenuhnya larangan penjualan petrol RON95 kepada kenderaan berpendaftaran asing.
“Langkah ini bagi memastikan subsidi dinikmati rakyat Malaysia dan mana-mana pihak yang melanggar peraturan akan dikenakan tindakan tegas mengikut undang-undang,” katanya.
IMedikel TV






