AOMORI: Semakin ramai pelancong asing berdepan kesulitan seperti tersesat, tertimbus dalam runtuhan salji dan menghadapi pelbagai masalah lain ketika bermain ski atau luncur salji di pergunungan wilayah Aomori.
Sejak sekatan COVID-19 ditamatkan, jumlah pelancong asing ke Jepun melonjak semula dengan ketara.
Ia menyumbang sekurang-kurangnya separuh daripada kes kecemasan di kawasan bersalji dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Justeru, Polis wilayah Aomori dan pihak berkuasa lain menyarankan pelancong tempatan dan asing yang mengunjungi pusat ski di wilayah itu agar lebih berwaspada ketika berada di kawasan pergunungan bersalji.
Beberapa pihak turut mengesyorkan agar mereka yang bermain ski membawa suar penyelamat untuk menandakan lokasi.
Ia alat penting dalam usaha mencari individu tertimbus dalam salji.
Sebagai persediaan, kira-kira 30 orang termasuk anggota polis dan pemandu gunung menyertai sesi latihan menyelamat dalam keadaan angin kencang berhampiran Stesen Sanroku Hakkoda Ropeway di bandar Aomori.
Dengan menggunakan suar, peserta menggunakan alat panjang dan ringan untuk menyelamat bagi mencari sebuah beg galas yang digunakan sebagai menggantikan mangsa tertimbus dalam salji.
Di lokasi lain, peserta dilatih dengan teknik pencarian serta koordinasi penyelamatan di kaki gunung.
Menurut ketua pasukan menyelamat dari Balai Polis Aomori, Yukinobu Tsushima, latihan itu penting untuk pemandu arah, polis dan bomba dalam meningkatkan kemahiran mencari dan menyelamat.
“Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, ramai pengunjung dari luar negara mengalami kesulitan. Adalah penting untuk kami bekerjasama dalam meningkatkan teknik pencarian kami,” katanya.
Sekitar Disember 2024 hingga 24 Februari lalu, data polis wilayah itu merekodkan 10 insiden kecemasan di kawasan bersalji membabitkan 18 mangsa, di mana 10 daripadanya adalah warga asing.
Pada musim sejuk sebelumnya iaitu sekitar Disember 2023 hingga April tahun lalu, 12 insiden direkodkan membabitkan 14 mangsa termasuk tujuh warga asing yang mana kebanyakan mereka dilapor tersesat akibat penglihatan terhad berhampiran kawasan resort ski. – AGENSI, HMetro Online –
IMedikel TV






