PUTATAN: Parti Keadilan Rakyat (PKR) hampir pasti bertanding antara 10 hingga 12 kerusi selepas perbincangan dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) Sabah, 29 November ini.
Memetik laporan Berita Harian, Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Sabah, Datuk Mustapha Sakmud, berkata setakat ini empat kerusi di kawasan pantai timur, manakala lima di pantai barat dan pedalaman, disusuli beberapa lagi kerusi masih dalam perbincangan.
Katanya, empat kerusi di pantai timur ialah Gum-Gum, Karamunting, Segama dan Merotai, manakala lima kerusi di pantai barat ialah Inanam, Petagas, Api-Api, Sindumin dan Melalap.
Beliau berkata, semua itu adalah kerusi tumpuan PKR seperti disenaraikan dalam program Jelajah Harapan Urang Sabah yang dilaksanakan bermula di kawasan pantai timur pada akhir minggu lalu.
“Sekarang ini ada lagi beberapa perbincangan terakhir, jadi kita akan lihatlah perkembangannya nanti, boleh jadi antara 10 hingga 12 kerusi, tapi itupun bergantung kepada perbincangan selanjutnya,” katanya kepada media selepas Program Jelajah Harapan Urang Sabah Petagas, di sini, semalam.
Mustapha berkata, selepas jelajah Gum-Gum, Karamunting, Segama dan Merotai di pantai timur dan disusuli jelajah di Inanam dan Petagas hari ini, program itu akan diteruskan di Sindumin, Melalap dan Api-Api selepas ini.
Setelah itu, katanya satu mesyuarat Biro Politik dan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR akan diadakan pada Ahad nanti dengan dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Presiden PKR.
“Kita akan berehat dalam beberapa hari dan selepas ini kita akan terus habiskan jelajah ini di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) tumpuan yang lain dan ini akan disimpulkan oleh mesyuarat Biro Politik dan Majlis Pimpinan Pusat yang akan diadakan di Kota Kinabalu pada 9 November ini.
“Kita mulakan dengan mesyuarat Biro Politik, disusuli mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat dan pada malam itu, 9 November, InsyaAllah presiden parti akan mengumumkan kawasan yang kita bakal tandingi.
“Beliau juga akan mengumumkan calon yang kita akan namakan. Jadi kita harap jelajah ini akan menaikkan semangat jentera kita untuk bersedia menghadapi PRN17,” katanya.
Mengenai kerusi DUN Petagas, Mustapha yang juga Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, berkata PKR berunding dengan GRS untuk meletak calon di kerusi itu berdasarkan kekuatan bekas calonnya pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada November 2022.
Katanya, calon mewakili Pakatan Harapan (PH) dari PKR pada masa itu, Awang Husaini Sahari hanya tewas 124 undi dengan sokongan kuat di kawasan Petagas yang dimenangi Parti Warisan ketika PRN16 pada September 2020.
Namun, selepas itu wakil rakyatnya yang juga abang Awang Husaini, Datuk Awang Ahmad Sah menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) dari GRS.
“Petagas ini unik, ia bukan kerusi penyandang Gagasan Rakyat, ini dulu dimenangi oleh Warisan, jadi kerusi yang bukan penyandang ini terbuka kepada rundingan.
“Mana-mana kerusi yang dimenangi oleh parti itu pada 2020, yang itu kita kena hormati tetapi mana-mana kerusi yang berubah selepas itu boleh dirundingkan dan inilah antaranya Petagas ini,” katanya.
Beliau berkata, Awang Husaini yang juga bekas Ahli Parlimen Putatan adalah nama yang dicalonkan PKR Sabah untuk bertanding atas tiket PH di kerusi DUN Petagas pada 29 November nanti. – BH Online –
IMedikel TV






