Home Sukan MEDIA DEDAH KATA-KATA SPENCE KEPADA FRANK

MEDIA DEDAH KATA-KATA SPENCE KEPADA FRANK

233
0

LONDON: Suasana tegang melanda kem Tottenham selepas kekalahan 1-0 kepada Chelsea.

Pemain pertahanan, Djed Spence, dilihat tidak mempedulikan pengendali, Thomas Frank yang mengajaknya untuk berinteraksi dengan penyokong selepas tamat perlawanan di Stadium Tottenham Hotspur, Sabtu lalu.

Memetik laporan Agensi menerusi Berita Harian, insiden itu tular selepas Spence dan rakan sepasukan Micky van de Ven enggan berjabat tangan dengan Frank dan terus meninggalkan padang – situasi yang menimbulkan tanda tanya mengenai keharmonian pasukan.

Menurut laporan Daily Mail, pakar pembaca bibir, Jeremy Freeman, mendedahkan Spence berkata kepada Frank: “Saya tidak mahu… pergi), selepas pengurusnya dilihat meminta pemain berusia 24 tahun itu memberi tepukan penghargaan kepada penyokong tuan rumah.

Selepas kekalahan itu, Frank cuba meredakan keadaan dengan menyifatkan insiden berkenaan sebagai perkara kecil.

“Semua pemain sudah tentu kecewa. Mereka mahu menang, mahu beraksi dengan baik, jadi saya faham perasaan itu.

“Kami lakukan perkara dengan cara berbeza, tapi saya tak anggap ini masalah besar. Micky dan Djed sudah beri segala yang mereka mampu musim ini,” kata Frank.

Dalam perlawanan itu, Spence dan Van de Ven dikatakan menjadi punca dalam situasi yang membawa kepada gol kemenangan Chelsea hasil jaringan Joao Pedro.

Perkara itu menimbulkan persoalan terhadap tahap kawalan Frank dalam bilik persalinan.

Walaupun Frank membawa Tottenham ke tangga kelima Liga Perdana Inggeris – peningkatan besar berbanding kedudukan ke-17 musim lalu di bawah Ange Postecoglou – corak permainan pasukan dikritik kerana terlalu hambar.

Data menunjukkan Tottenham hanya mencatat 0.05 jangkaan gol (xG) menentang Chelsea – yang terburuk sejak statistik itu mula diperkenalkan pada tahun 2012 – dan hanya menang tiga daripada 19 aksi terakhir di laman sendiri.

Mengulas prestasi hambar itu, Frank mengakui: “Itu memang menyakitkan. Sepanjang karier saya, belum pernah mengendali pasukan yang cipta peluang sekecil itu dalam satu perlawanan. Saya akan kaji apa yang perlu diperbaiki.”

Mengenai ejekan penyokong pada wisel penamat, dia menambah: “Ya, saya faham sepenuhnya kekecewaan mereka. Kami semua terasa perkara itu.

“Tapi ini sebahagian daripada bola sepak – yang penting kami kekal tenang dan terus mencari jalan penyelesaian.” – AGENSI, BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here