LONDON: Bos Tottenham, Ange Postecoglou memuji Richarlison kerana mendedahkan kepada umum masalah kesihatan mental yang dialaminya.
Tahap masalah pemain antarabangsa Brazil itu jelas awal minggu ini susulan temu ramah dengan ESPN yang mana dia kelihatan menangis.
Bekas penyerang Everton itu menjelaskan bagaimana dia berada dalam “kemurungan” selepas Piala Dunia 2022 bila mana pasukan negaranya tersingkir pada suku akhir dan “mahu berputus asa.”
Postecoglou, bercakap menjelang aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di laman sendiri menentang Luton malam ini, kagum dengan kesediaan Richarlison berkongsi keadaan peribadinya dalam usaha membantu orang lain.
“Mereka hanya insan biasa,” kata Postecoglou.
“Saya belum bercakap dengan Richy tetapi Richy benar-benar mendapat manfaat daripada sokongan yang diterimanya. Bukan hanya dirinya tetapi orang lain dalam komuniti. Kerana dia mendapat manfaat secara langsung, dia menunaikan tanggungjawabnya untuk cuba berkongsi kisahnya.
“Ia sering menjadi impak besar apabila seseorang yang berprofil tinggi, seseorang yang dalam kedudukan yang mana kita fikirkan mereka tidak patut mempunyai sebarang masalah atau kita lihat ia sebagai satu petanda kelemahan apabila mereka mencari bantuan dan sokongan. Satu pujian terhadapnya.”
Warga Australia itu menambah: “Dia boleh saja menangani perkara ini secara peribadi, tetapi saya fikir aspek awam mengenainya, ia satu keputusan yang berani buatnya, tetapi lebih penting lagi ia diharapkan menjadi saluran yang bagus untuk orang lain menghubungi dan mendapatkan bantuan apabila diperlukan.
“Satu pujian terhadap Richy kerana dia cuba mendapatkan bantuan, dia mendapat bantuan yang betul dan kini dia mahu orang lain turut mendapat manfaat daripadanya.”
Sementara itu, Postecoglou berkata Spurs boleh menyekat sebarang tindakan pemenang Piala Dunia, Cristian Romero untuk mewakili Argentina pada pertandingan bola sepak Sukan Olimpik, yang berlangsung dari 24 Julai hingga 10 Ogos.
Pemain pertahanan berusia 25 tahun itu menyatakan hasratnya untuk beraksi di Paris 2024 ketika tugasan antarabangsa baru-baru ini. – AFP,BH Online –
Imedikel TV






