Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
Rasa tidak bermaya, tidak bertenaga dan lecu merupakan suatu kelaziman kepada umat islam ketika menjalani ibadat puasa sepanajang bulan Ramadhan.
Namun demikian, kewajipan untuk menahan diri daripada makan dan minum tidak sepatutnya menjadi alasan orang ramai untuk duduk terperap di dalam rumah sepanjang hari.
Malah, kita juga digalakkan untuk menjadi lebih sabar, melakukan lebih banyak amal ibadat, bersedekah dan juga mengukuhkan hubungan silaturahim sesama manusia.
Persoalannya, bagaimanakah untuk memastikan badan kekal bertenaga?
Berikut adalah beberapa tips untuk kekal bertenaga sepanjang bulan Ramadhan.
- Jangan tinggal sahur: makan ketika sahur adalah sumber tenaga untuk kekal cergas di siang hari. Sebaiknya, pengambilan makanan ketika sahur adalah seperti makanan yang seimbang dengan karbohidrat, protein, buah-buahan serta sayur-sayuran. Mereka juga perlu makan dalam kuantiti yang biasa.
- Berbuka dengan sederhana: sungguhpun anda lapar, jangan ambil jumlah makanan yang banyak dalam satu masa. Perut anda akan terkejut dan boleh menyebabkan ketidakselesaan dan ketidakhadaman. Makan perlahan-lahan dan berikan sedikit masa untuk perut berehat.
- Elakkan tidur selepas sahur atau subuh: seeloknya elakkan tidur sekurang-kurangnya dua jam selepas sahur kerana ketika sahur anda sudah makan makanan berat. Selain itu, hormon kortisol adalah tinggi pada waktu pagi. Hormon ini berfungsi merangsang otak dan memberikan fokus serta melawan stres. Kadarnya akan turun sehingga paling rendah di waktu petang dan malam.
- Banyakkan minum air: kadar untuk cukupkan keperluan air sekurang-kurangnya lapan gelas sehari. Dengan masa yang terhad untuk minum air, anda boleh gunakan jadual 2-4-2 iaitu dua gelas semasa berbuka, empat gelas sebelum dan selepas solat tarawih dan dua gelas sewaktu sahur.
- Elakkan minuman berkafein: kafein adalah sejenis diuretik, iaitu bahan yang menyebabkan anda membuang air dengan kerap. Ia mendedahkan anda kepada dehidrasi yang akhirnya menyebabkan badan anda kekurangan tenaga untuk meneruskan hari berbaki.
- Ambil makanan yang sihat: kurangkan makanan bergoreng, makanan diproses dan makanan bergula kerana kurang berkhasiat.
Hal ini kerana Ramadan adalah bulan perjuangan. Ia haruslah diisi dengan banyak aktiviti bermanfaat. Tanpa pengamalan gaya hidup yang sihat, Ramadan tentunya hanya akan diisi dengan tidur sahaja.
IMedikel TV






