Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KUCHING: Polis menumpaskan kegiatan dipercayai pengedaran dadah selepas menahan dua lelaki tempatan serta merampas lebih satu kilogram dadah disyaki syabu dalam serbuan di Kampung Bintawa Ulu, di sini, pada Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Alexson Naga Chabu berkata, kedua-dua suspek masing-masing berusia 38 dan 51 tahun diberkas sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching.
“Hasil pemeriksaan menemukan dadah disyaki jenis syabu kira-kira 1,027.95 gram dengan anggaran nilai pasaran RM51,397.
“Polis turut menyita wang tunai berjumlah RM3,303 yang disyaki hasil daripada aktiviti pengedaran dadah,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Beliau berkata, ujian saringan awal air kencing mendapati suspek berusia 38 tahun positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine, manakala suspek berusia 51 tahun didapati negatif.
Katanya, semakan turut mendapati kedua-dua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
“Kedua-dua suspek direman selama tujuh hari bermula 8 hingga 14 Julai bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup serta sebatan tidak kurang 12 kali, jika disabitkan kesalahan,” katanya.
Alexson berkata, kejayaan itu adalah hasil risikan berterusan dan kerjasama orang awam dalam menyalurkan maklumat kepada polis.
Tegasnya, Polis Diraja Malaysia tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang terbabit dalam aktiviti pengedaran dadah kerana kesalahan itu merupakan jenayah serius di sisi undang-undang.
Beliau berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik akan terus komited memerangi penyalahgunaan dan pengedaran dadah demi melindungi generasi masa kini dan akan datang.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan dadah boleh menghubungi Hotline JSJN di talian 012-208 7222 atau Hotline JSJN IPK Sarawak di 017-592 9211.
IMedikel TV






