Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV
KUANTAN: Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) Cawangan Daerah Kuantan meneruskan usaha menyantuni golongan memerlukan menerusi Program Cakna Asnaf dengan menziarahi lima keluarga asnaf di Perumahan Sungai Isap 2, di sini.
Program itu diadakan bersempena Majlis Pelancaran Bulan Zakat dan Wakaf Negeri Pahang Muharam 1448H di Masjid Al-Falah, Kuantan.
Pengurus MUIP Cawangan Daerah Kuantan, Mohd Muzil Adli Ne’mat berkata, program berkenaan mencerminkan keprihatinan MUIP dalam memastikan kebajikan golongan asnaf terus diberi perhatian, khususnya ketika berdepan peningkatan kos sara hidup.

Menurutnya, delegasi MUIP turun padang bagi meninjau sendiri keadaan kehidupan keluarga terbabit, bertanya khabar serta mengenal pasti keperluan semasa yang boleh dibantu.
Katanya, selain menyampaikan sumbangan barangan keperluan harian, pihaknya turut memberikan kata-kata semangat dan sokongan moral kepada setiap penerima.
“Rasa syukur dan terharu jelas terpancar pada wajah penerima yang mengakui lawatan ini bukan sekadar membawa bantuan, malah memberi harapan serta keyakinan bahawa nasib mereka sentiasa mendapat perhatian masyarakat dan institusi zakat.
“Program seperti ini membuktikan peranan zakat dan wakaf bukan sahaja sebagai instrumen pembangunan ummah, malah menjadi jambatan kasih sayang yang menghubungkan golongan berada dengan mereka yang memerlukan,” katanya di sini, hari ini.
Mohd Muzil Adli berkata, pendekatan turun padang dan menyelami sendiri denyut nadi kehidupan asnaf dilakukan secara berterusan, MUIP terus komited memastikan setiap bantuan yang disalurkan benar-benar memenuhi keperluan penerima serta membawa sinar baharu kepada kehidupan mereka.
Beliau turut mengajak orang ramai bersama-sama membantu MUIP mengesan golongan asnaf yang memerlukan dengan menyalurkan maklumat kepada ketua kampung atau Briged Asnaf untuk siasatan dan tindakan lanjut.
“Saya berharap masyarakat dapat turut sama membantu MUIP mengesan golongan asnaf, salurkan maklumat kepada ketua kampung dan Briged Asnaf untuk kita siasat seterusnya memberi bantuan sekiranya mereka layak,” katanya.
IMedikel TV






