Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV
KUANTAN: Bagi memperkukuh budaya hidup berteraskan al-Quran di kampus, Pejabat Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA), Universiti Al-Quran Al-Sultan Abdullah Ahmad Shah Pahang (UNIQSAAS) menganjurkan Program Biah Quraniyyah yang memberi penekanan kepada penghayatan al-Quran dalam kalangan mahasiswa.
Naib Canselor UNIQSAAS, Profesor Datuk Mohd Zawavi Zainal Abidin, berkata program yang membabitkan semua pelajar UNIQSAAS diadakan di Masjid Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, UNIQSAAS, di sini, yang dikendalikan oleh 53 naqib dan 45 naqibah.
Menurutnya, setiap kumpulan terdiri daripada 17 hingga 20 pelajar, menerusinya proses pembelajaran dan bimbingan dapat dilaksanakan secara lebih berkesan dan mencapai matlamat penganjuran program berkenaan.

Katanya, program Biah Quraniyyah mendapat bimbing Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam, Pejabat HEPA, Ustaz Mohd Farid Faizul Othman dan
Pegawai Tadbir Pejabat HEPA, Ustazah Nur Afiqah Foo Muhammad Furqan Foo yang berpengalaman luas menjayakan program terbabit.
“Sepanjang program peserta membaca al-Quran secara bertalaqqi dan menjalani semakan bacaan. Naqib dan naqibah turut membimbing pelajar memperbetulkan sebutan, tajwid serta kelancaran bacaan bagi meningkatkan kualiti bacaan.
“Penganjuran program berkenaan dapat menyemarakkan budaya ilmu, ibadah dan ukhuwah di kalangan warga UNIQSAAS,” katanya, di sini semalam.
Beliau berkata, pejabat HEPA komited untuk terus menganjurkan program Biah Quraniyyah sebagai medium melahirkan graduan yang cemerlang dalam akademik, sahsiah serta berpegang teguh kepada nilai al-Quran, selaras dengan aspirasi UNIQSAAS sebagai sebuah universiti berteraskan al-Quran.
Mohd Zawavi berkata, pihaknya berharap penganjuran program berkenaan mencapai objektif sebenar untuk memberi ilmu yang diperlukan oleh golongan
mahasiswa.
Rata-rata peserta yang ditemui berpendapat program berkenaan amat berguna dalam memastikan bacaan al-Quran lebih baik dan berkesan.
IMedikel TV






