Home Buletin Semasa SISA E-WASTE BERNILAI JUTAAN RINGGIT DISITA, 11 WARGA ASING DITAHAN

SISA E-WASTE BERNILAI JUTAAN RINGGIT DISITA, 11 WARGA ASING DITAHAN

15
0

Oleh: Wartawan IMedikel TV

PENANG: Puluhan blok padat sisa elektronik (e waste) dan lapan beg besar mengandungi komponen komputer serta papan induk bernilai jutaan ringgit disita menerusi Op Hazard di sebuah premis Lorong Pengkalan Indah, Bukit Tengah, Pulau Pinang.

Serbuan jam 11.55 pagi itu dijalankan polis dari Bahagian Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) serta Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).

Pemangku Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Superintendan Norazizi Saad, menerusi serbuan berkenaan polis menahan seramai 11 warga asing berusia antara 26 hingga 59 tahun untuk siasatan lanjut.

“Serbuan ke atas premis itu dilakukan susulan aktiviti yang dijalankan didapati beroperasi secara haram kerana tidak mempunyai lesen yang sah.

“Hasil siasatan awal mendapati 10 tangkapan disyaki melakukan kesalahan melanggar syarat pas, manakala seorang lagi disyaki tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah untuk masuk ke negara ini,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Norazizi berkata, kesemua tangkapan ditahan selama 14 hari bermula 7 hingga 20 Julai depan bagi siasatan lanjut bagi siasatan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

“Dalam operasi sama, MBSP turut mengeluarkan dua kompaun terhadap premis berkenaan kerana menjalankan aktiviti penyimpanan barang tanpa lesen yang sah.

“Manakala JAS pula menjalankan siasatan mengikut Seksyen 18(1) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974,” katanya.

Dalam pada itu, Norazizi berkata, pihak polis akan terus memperkukuhkan kerjasama strategik bersama agensi penguat kuasa lain dalam membanteras aktiviti pemprosesan e-waste secara haram serta mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang.

“Tindakan ini demi memelihara keselamatan, kesejahteraan masyarakat dan kelestarian alam sekitar,” katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here