Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV
KUANTAN: Bermula sekadar mengisi masa lapang bersama keluarga, kini usaha selama tiga dekad mengusahakan kebun buah-buahan membolehkan pesara Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Pahang, Napsiah Ahmad, menikmati hasil yang lumayan.
Diusahakan secara berperingkat di atas tanah seluas lebih dua hektar di Kampung Bukit Rangin, kebun miliknya kini menjadi antara destinasi pilihan pengunjung yang ingin menikmati pengalaman makan buah-buahan terus dari dusun.
Menurut Napsiah, kebunnya mula mengeluarkan hasil lebih 20 tahun lalu dengan tanaman utama terdiri daripada durian, selain rambutan, manggis dan dokong.
“Hampir setiap tahun kebun ini mengeluarkan hasil. Selain menjual buah secara terus, saya turut menyediakan pakej makan buah dalam kebun untuk keluarga dan kumpulan yang ingin menikmati suasana dusun.
“Pada awalnya saya hanya berkebun untuk mengisi masa lapang bersama keluarga, namun kini ia menjadi sumber pendapatan tambahan setiap kali musim buah,” katanya ketika ditemui di kebunnya, semalam.

Kejayaan itu turut didorong sokongan ahli keluarga serta bantuan daripada Pejabat Pertanian Daerah Kuantan dan Jabatan Pertanian Negeri Pahang yang menyalurkan pelbagai bentuk bantuan bagi memajukan projek agro berkenaan.
Beliau berkata, kebunnya kini mempunyai kira-kira 60 pokok durian, 200 pokok dokong, 10 pokok manggis dan lapan pokok rambutan, selain anak pokok berusia antara sebulan hingga tiga tahun yang sedang dibangunkan.
Menurutnya, dusun yang diusahakan bersama suaminya itu kini dikenali sebagai Dusun Durian Pok Usop Bukit Rangin dan menerima kehadiran pengunjung dari dalam serta luar Pahang setiap kali musim buah.
Pesara yang sudah tujuh tahun meninggalkan perkhidmatan itu berkata, sokongan berterusan daripada agensi kerajaan menjadi pembakar semangat untuk terus memajukan projek agro yang memerlukan komitmen tinggi dan modal yang besar.
Beliau memaklumkan kebunnya kini telah memperoleh pensijilan MyGAP, sekali gus meningkatkan keyakinan pengunjung terhadap kualiti hasil yang ditawarkan.
“Kos untuk memajukan projek agro ini agak tinggi. Saya berharap dapat memperoleh bantuan daripada agensi kerajaan, khususnya bagi membina pagar kawasan kebun serta beberapa chalet untuk kemudahan pengunjung.
“Musim buah kali ini, saya menerima kunjungan kakitangan kerajaan, ahli jawatankuasa masjid serta rakan-rakan yang memilih pakej makan buah dalam kebun,” katanya.
Napsiah yang juga nenek kepada tujuh cucu berharap dusunnya terus menjadi destinasi pilihan pencinta buah-buahan tempatan, sekali gus memperkenalkan potensi agropelancongan di Kuantan.
IMedikel TV






