Home Buletin Semasa JKM PERJELAS ISU TULAR BKK: RM1,000 SEBULAN UNTUK ENAM ANAK, BUKAN SETIAP...

JKM PERJELAS ISU TULAR BKK: RM1,000 SEBULAN UNTUK ENAM ANAK, BUKAN SETIAP SEORANG

52
0

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

PUTRAJAYA: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menjelaskan pemberian Bantuan Kanak-Kanak (BKK) berjumlah RM1,000 sebulan yang tular di media sosial adalah untuk keseluruhan enam orang anak yang layak, bukannya RM1,000 bagi setiap seorang anak atau kepada ibu mereka.

Menerusi kenyataan media yang dikeluarkan hari ini, JKM berkata penjelasan itu dibuat bagi mengelakkan kekeliruan berhubung syarat kelayakan dan pelaksanaan bantuan berkenaan.

“BKK disalurkan bagi memastikan kanak-kanak yang memerlukan dapat terus tinggal bersama keluarga atau penjaga dalam persekitaran yang selamat serta meneruskan kelangsungan hidup mereka.

“Pemberian bantuan itu dibuat berdasarkan syarat kelayakan yang ditetapkan, termasuk status kewarganegaraan, umur, pendapatan isi rumah serta hasil siasatan kes yang dijalankan oleh pegawai JKM,”menurut kenyataan itu.

Berdasarkan semakan jabatan itu, wanita yang terlibat adalah warganegara Malaysia, manakala kesemua enam anaknya mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah serta berstatus warganegara Malaysia.

JKM turut menjelaskan bahawa penerima manfaat sebenar BKK ialah anak-anak yang layak, bukannya suami wanita berkenaan yang bukan warganegara.

“Kelulusan bantuan dibuat berdasarkan kelayakan kanak-kanak serta keadaan sosioekonomi keluarga yang memenuhi syarat, termasuk pendapatan isi rumah di bawah paras yang ditetapkan, selain mengambil kira kepentingan terbaik kanak-kanak.

“Selaras dengan Garis Panduan Pengurusan Bantuan Kewangan Persekutuan (Bulanan) JKM, kadar BKK ditetapkan antara minimum RM200 hingga maksimum RM1,000 sebulan berdasarkan bilangan dan umur anak yang layak, tertakluk kepada syarat serta pertimbangan jabatan,”jelas kenyataan itu.

Sehubungan itu, JKM meluluskan bantuan maksimum RM1,000 sebulan bagi keseluruhan enam orang anak yang layak dalam kes berkenaan.

JKM menegaskan setiap permohonan bantuan dinilai secara telus dan profesional berdasarkan siasatan kes, dokumen sokongan, syarat kelayakan serta keadaan sosioekonomi semasa pemohon.

Menurut jabatan itu, semua bantuan kebajikan disalurkan mengikut dasar, peraturan dan garis panduan yang berkuat kuasa serta tidak dipengaruhi sentimen atau persepsi awam.

Orang ramai turut dinasihatkan mendapatkan maklumat daripada sumber yang sahih dan tidak menyebarkan maklumat yang tidak lengkap sehingga menimbulkan salah faham terhadap pelaksanaan bantuan kebajikan kerajaan.

“JKM akan terus komited memastikan bantuan kebajikan disalurkan secara adil, telus dan berintegriti kepada individu serta keluarga yang benar-benar layak, khususnya dalam memastikan kebajikan dan kepentingan terbaik kanak-kanak di negara ini sentiasa terpelihara,”menurut kenyataan itu.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here