SYDNEY: Polis Australia mendakwa seorang lelaki kerana memiliki 23,000 imej lucah dan penderaan seksual terhadap kanak-kanak di dalam komputernya.
Memetik laporan AFP menerusi Harian Metro, Ketua Superintendan Polis Queensland, Denzil Clark, berkata siasatan mendapati sekurang-kurangnya 459 mangsa dikenal pasti dalam koleksi gambar dan video yang mendokumentasikan jenayah didakwa dilakukan lelaki berusia 27 tahun itu.
Difahamkan, gambar dan video itu diperoleh daripada mangsa yang dipujuk secara dalam talian.
Semua kanak-kanak itu berusia antara tujuh hingga 15 tahun yang kebanyakannya menetap di Australia dan luar negara.
“Lelaki ini secara aktif menyasarkan mangsa melalui platform media sosial dan permainan popular dengan kegiatan jenayah berlaku antara 2018 hingga 2025,” katanya kepada pemberita.
Clark berkata, suspek turut didakwa mencipta pelbagai akaun palsu dalam talian, menyamar sebagai lelaki dan perempuan, sebelum memujuk, memaksa serta mengugut kanak-kanak dan remaja supaya menghantar bahan berunsur seksual.
Justeru, Clark menyifatkan kes itu amat membimbangkan dan menjijikkan.
“Kami melihat peningkatan ketara kes kanak-kanak dipujuk, dipaksa atau diugut untuk mengambil dan menghantar imej seksual diri mereka sendiri, selalunya melalui aplikasi, permainan dan platform media sosial popular.
“Trauma yang dialami kanak-kanak akibat perbuatan ini adalah sangat besar,” katanya.
Lelaki berkenaan didakwa atas 596 pertuduhan berasingan, termasuk lebih 200 pertuduhan menghasilkan bahan penderaan kanak-kanak serta 87 pertuduhan melakukan aktiviti seksual dengan kanak-kanak melalui internet.
Australia baru-baru ini melarang kanak-kanak bawah 16 tahun daripada menggunakan beberapa platform media sosial paling popular di dunia berikutan kebimbangan terhadap peningkatan kes pemangsa dewasa yang menyasarkan kanak-kanak secara dalam talian. – AFP, BH Online –
IMedikel TV






