Home Buletin Semasa LELAKI MAUT, MOTOSIKAL REMPUH PENGHADANG JALAN

LELAKI MAUT, MOTOSIKAL REMPUH PENGHADANG JALAN

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KOTA BHARU: Seorang lelaki maut apabila motosikal yang ditunggangnya terbabas lalu merempuh penghadang jalan, di Kilometer 15.4 Lebuhraya Rakyat, di sini, kira-kira jam 8.00 pagi, semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, ACP Mohd Azmir Damiri berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang berusia 30-an itu menunggang motosikal jenis Yamaha NVX dari arah Padang Enggang menghala ke Ketereh.

“Apabila sampai di lokasi kejadian,  mangsa bergerak lurus di laluannya kemudian dipercayai terbabas ke bahu kiri jalan.

“Mangsa kemudiannya terjatuh lalu merempuh penghadang jalan yang berada di bahu kiri jalan tersebut, menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan badan, ”katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata akibat perlanggaran itu mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan kira-kira jam 8.40 pagi.

Katanya mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Pakar Universiti Malaysia (HPUSM) Kubang Kerian untuk proses bedah siasat.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,”katanya.

Sehubungan itu Mohd Azmir meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian tampil membantu siasatan di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu atau boleh berhubung dengan Pegawai Penyiasat Trafik Insp Sharif Mohd Ridhuan Sharif Hassan di talian 09-7752315.

Pihak polis juga menggesa orang ramai supaya berhati-hati dalam pemanduan semasa menggunakan jalan raya dan mematuhi undang-undang serta isyarat lalul intas yang berkuatkuasa di Malaysia.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here