Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
KETEREH: Sebanyak 60 syarikat pembekal makanan atau katering di Kelantan memiliki pensijilan Trust My Katering yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) setakat ini.
Timbalan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (Keselamatan dan Kualiti Makanan), Natrah Abu Bakar, berkata pensijilan tersebut sah digunakan selama tiga tahun bermula dari tarikh kelulusannya.

“Antara syarat utama untuk memperoleh pensijilan itu ialah premis katering berada dalam keadaan bersih serta mencapai tahap penarafan kebersihan gred A,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Pengiktirafan Trust My Katering yang berlangsung di syarikat Sya Suarasa Katering, Kok Lanas, di sini hari ini.
Majlis itu turut dihadiri Pengarah Urus Setia Penerangan dan Komunikasi Negeri Kelantan, Razuan Awang Hamad.

Dalam pada itu, Natrah berkata Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kelantan menggalakkan lebih banyak syarikat katering yang masih belum memiliki pensijilan berkenaan supaya membuat permohonan bagi meningkatkan keyakinan pengguna terhadap keselamatan makanan yang disediakan.
Jelasnya, JKN Kelantan turut melaksanakan pelbagai kempen bagi memperkenalkan pensijilan Trust My Katering serta manfaat yang boleh diperoleh oleh syarikat katering.
“Permohonan pensijilan Trust My Katering adalah percuma, dan audit premis akan dijalankan oleh JKN Kelantan selepas permohonan diterima sebelum sijil dikeluarkan kepada syarikat yang layak,” katanya.
Jelas beliau, syarikat yang berjaya memperoleh pensijilan Trust My Katering akan diberikan sijil dan logo rasmi yang boleh digunakan di premis serta pembungkusan makanan sebagai bukti keyakinan dan promosi kepada pelanggan.
IMedikel TV






