Home Buletin Semasa PGA RAMPAS 2,500 ANAK POKOK DISYAKI SELUDUP DARI THAILAND

PGA RAMPAS 2,500 ANAK POKOK DISYAKI SELUDUP DARI THAILAND

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

RANTAU PANJANG: Pasukan Gerakan Am (PGA) mematahkan cubaan menyeludup 2,500 anak pokok buah-buahan pelbagai jenis yang dipercayai dibawa masuk secara haram dari Thailand dalam satu operasi, pada Khamis.

Menurut Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid dalam satu kenyataan pada Khamis, rampasan itu dilakukan sekitar jam 8.30 malam di Kampung Parit Air, di sini, menerusi Op Taring Wawasan apabila pasukan Batalion 8 PGA menahan sebuah lori yang mencurigakan semasa rondaan rutin.

“Hasil pemeriksaan ke atas lori tersebut mendapati kesemua anak pokok yang dibawa tidak mempunyai sebarang dokumen dan disyaki mengandungi serangga perosak serta penyakit tanaman.

“Pemandu lori, seorang lelaki tempatan berusia 29 tahun, gagal mengemukakan dokumen sah dan dipercayai cuba membawa masuk tanaman dari Thailand secara haram. Jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM525,000 termasuk kenderaan,”katanya dalam kenyataan.

Menurut beliau kes disiasat di bawah Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 (Akta 167), Seksyen 5.

Katanya suspek dan barang rampasan diserahkan kepada Bahagian Biosekuriti Tumbuhan Kelantan untuk tindakan lanjut.

Tegasnya PGA akan terus memperhebat operasi di sempadan bagi memastikan Malaysia bebas daripada ancaman serangga perosak dan penyakit yang boleh menjejaskan keselamatan sektor pertanian negara.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here