Home Buletin Semasa LARANGAN BEG PLASTIK SEKALI GUNA DI KAWASAN ALAM SEKITAR

LARANGAN BEG PLASTIK SEKALI GUNA DI KAWASAN ALAM SEKITAR

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

PUTRAJAYA: Kerajaan bersetuju melaksanakan larangan penggunaan beg plastik jinjit sekali guna di lokasi-lokasi sensitif alam sekitar termasuk Hutan Simpan, Taman Negara, Taman Laut dan Geotapak di seluruh negara.

Menurut Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad, dalam satu kenyataan semalam, keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Menteri-Menteri Alam Sekitar (MEXCOE) yang dipengerusikan sendiri oleh beliau.

“Larangan tersebut turut diperluas ke premis-premis tetap seperti pasaraya, kedai serbaneka, restoran makanan segera dan farmasi, dengan kaedah pelaksanaan disesuaikan mengikut negeri masing-masing.

“Kaedah pelaksanaan akan diperhalusi dan disesuaikan mengikut negeri masing-masing. Langkah ini bertujuan untuk mendidik masyarakat tentang pentingnya penggunaan bahan mesra alam demi kesejahteraan generasi akan datang,”katanya dalam kenyataan semalam.

MEXCOE juga memutuskan kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri diperkukuh bagi membanteras aktiviti pemprosesan e-waste secara haram yang semakin berleluasa.

Dalam usaha meningkatkan kesedaran alam sekitar, NRES turut memperkenalkan Panduan Amalan Hijau Majlis Rumah Terbuka Lestari sepanjang musim perayaan bagi menggalakkan gaya hidup mesra alam.

Melalui inisiatif ini, Kementerian menyeru semua pihak agar mengadaptasi gaya hidup yang lebih lestari ketika musim perayaan.

“Langkah-langkah seperti mengurangkan penggunaan plastik, mengelakkan pembaziran dan menggalakkan pengurusan sisa yang lestari bukan sahaja membantu memelihara alam sekitar tetapi juga mencerminkan tanggungjawab kita sebagai masyarakat yang prihatin terhadap kelestarian bumi,”katanya.

Nik Nazmi berkata, komitmen itu adalah langkah penting ke arah melindungi alam sekitar dan menjadikan Malaysia sebagai contoh negara yang serius dalam menangani isu pencemaran global.


“NRES komited sepenuhnya untuk memastikan kelestarian alam sekitar melalui pelaksanaan dasar dan inisiatif yang berimpak tinggi.

“Sebagai teras utama, Kementerian akan terus memperkukuhkan kerjasama dengan semua pihak berkepentingan termasuk Kerajaan Negeri, sektor swasta dan masyarakat dalam menerapkan amalan lestari serta memperkasakan kesedaran awam terhadap tanggungjawab bersama dalam menjaga alam sekitar,”katanya.

Tegasnya mesyuarat MEXCOE mencerminkan komitmen semua pihak dalam memastikan alam sekitar terus dipelihara dan dipulihara.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here