Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Peratusan pesakit kanser payudara semakin meningkat dari tahun ke tahun menjadikan penyakit tersebut kekal pembunuh nombor satu wanita.
Menurut Ketua Perkhidmatan Surgeri Payudara dan Endokrin Malaysia, Datuk Dr Imi Sairi Ab Hadi, ramai pesakit kanser lewat untuk mendapatkan rawatan di hospital kerana lebih percaya bomoh.
“Peningkatan itu mengikut nisbah lima tahun lalu dalam 27 orang, terdapat satu wanita yang akan kena kanser payudara, tetapi kini dalam 23 orang, satu wanita yang menghidap kanser.

“Tetapi untuk tahun 2021 dan ke atas, dalam 23 orang terdapat satu wanita yang menghidap kanser payudara. Ini bermakna apabila nombor semakin kecil, peratusan mereka untuk mendapat kanser semakin teruk,”katanya kepada pemberita di sidang media selepas Pink Walk 2024 X Festival OHMYDIN di Tunjong, di sini, pada Sabtu.
Menurut beliau, walaupun terdapat banyak kempen kesedaran berkenaan penyakit tersebut namun masih ramai pesakit yang menggunakan alternatif lain untuk mendapatkan rawatan.
“Mereka tahu dan sedar mereka penghidap kanser payudara, tetapi masih percayakan bomoh.
“Jadi mereka berubat secara tradisional disebabkan nasihat daripada ahli keluarga, dan kononnya jika berubat secara tradisional tidak boleh terkena besi atau pisau, tetapi itu semua mitos,”katanya.
Menurut Dr Imi yang juga merangkap Pengerusi Yayasan Kaseh Kanser & Kronik (YKKK), penghidap kanser payudara disebabkan oleh faktor genetik dan juga gaya hidup.
“Biasanya 20 hingga 30 peratus adalah disebabkan faktor genetik dan selebihnya disebabkan gaya hidup.
“Gaya hidup ini termasuk cara pemakanan, cara hidup, maknanya kita banyak makan makanan berlemak dan kurang melakukan senaman, minum alkohol, menghisap rokok, jadi risiko kanser itu tinggi.
“Jadi, kita menekankan untuk melakukan banyak senaman untuk memecahkan lemak, kerana lemak yang banyak akan menyebabkan peningkatan hormone estrogen dalam kalangan wanita,”katanya.
IMedikel TV






