TAIPEI: Seorang lelaki berusia 44 tahun di Daerah Sanchong, New Taipei City, ditahan selepas dia menyerang dua adik-beradiknya akibat pertikaian harta pusaka keluarga sehingga menyebabkan kakak sulungnya maut dan adik perempuan mereka cedera.
Memetik MS News, kejadian itu berlaku selepas konflik tercetus pada 28 Oktober lalu, ketika adik-beradik berkenaan bertemu untuk membincangkan satu amanah yang diwujudkan oleh ibu mereka yang berusia 90 tahun.
Memetik laporan Agensi menerusi BHarian Metro, difahamkan amanah bernilai NT$10 juta (kira-kira RM1.35 juta) itu hanya menyenaraikan dua beradik perempuan sebagai penerima, sekali gus tidak memasukkan saudara lelaki mereka dikenali sebagai Chen.
Chen, yang dilaporkan selalu menjaga dan terbabit dengan penjagaan harian ibunya, berasa sangat tersisih dengan keputusan berkenaan.
Berang dengan keputusannya diketepikan, Chen mengambil pisau di rumahnya lalu pergi ke rumah kakaknya dan memulakan serangan.
Susulan itu, kakak sulungnya yang baru pulang dari Amerika Syarikat (AS) ditikam di dada dan meninggal dunia ketika di bawa ke hospital akibat kecederaan.
Adik perempuannya pula turut cedera dalam serangan itu tetapi terselamat.
Insiden berkenaan turut memberi kesan kepada isteri Chen yang cuba menghalang dan mengalami kecederaan dengan luka hirisan pada tapak tangan kiri.
Dalam pada itu, jiran berdekatan meluahkan rasa tidak percaya terhadap kejadian berkenaan kerana Chen sebelum ini dikenali sebagai seorang yang baik, mesra dan menghormati orang lain.
Polis kemudian menahan Chen sejurus selepas kejadian dan dia didakwa atas pertuduhan membunuh serta cubaan membunuh.
Mahkamah akan menentukan hukuman ke atasnya dan keseriusan jenayah itu boleh membawa kepada penalti berat. – AGENSI, HMetro Online –
IMedikel TV






