DUBAI: Rory McIlroy tewas Kejohanan Jelah Dunia DP bernilai RM41.3 juta dalam aksi playoff menentang Matt Fitzpatrick, tetapi tetap dinobatkan sebagai juara keseluruhan Race to Dubai musim ini.
“Ini benar-benar luar biasa. Saya tahu saya masih ada sedikit kerja untuk diselesaikan untuk memastikan kemenangan dalam Race to Dubai,” kata McIlroy, yang akan kekal sebagai pemain No. 2 dunia.
Memetik laporan AFP menerusi Harian Metro, McIlroy menamatkan saingan di tangga teratas ranking penutup musim Jelajah Eropah buat kali ketujuh, dan untuk musim keempat berturut-turut.
Dia memecahkan ikatan dengan Severiano Ballesteros dan kini hanya satu di belakang Colin Montgomerie, yang mencapai kejayaan itu sebanyak lapan kali.
“Nampaknya sudah dalam jangkauan,” kata McIlroy. “Saya orang Eropah pertama memenangi Grand Slam dan saya mahu menjadi pemain Eropah paling berjaya dalam memenangi Order of Merit dan perlumbaan musim panjang.”
Beliau menambah Ballesteros “sentiasa menjadi pemain kegemaran ayah saya”.
“Apabila saya mendengar nama Seve, ia membawa saya kembali sepanjang perjalanan dalam permainan ini, dan ya, ia agak menyentuh perasaan.”
Fitzpatrick dari England membuat birdie di lubang ke-72 permainan regulasi untuk menamatkan pusingan dengan 66 di padang Earth, Jumeirah Golf Estates. Beberapa minit kemudian, McIlroy dari Ireland Utara membuat eagle sensasi di lubang yang sama selepas pukulan kedua yang cemerlang ke jarak 16 kaki.
Di lubang playoff pertama, pukulan tee McIlroy jatuh ke dalam aliran air yang melintasi fairway, dan dia hanya mampu membuat bogey sekali gus memberikan kemenangan kepada Fitzpatrick, juara tiga kali kejohanan penutup musim.
Fitzpatrick, juara Terbuka AS 2022, mengekalkan ketenangannya untuk gelaran ketiganya di DP World Tour Championship dan kemenangan DP World Tour ke-10 dalam 195 penampilan.
Sebelum menamatkan saingan di tempat kelapan bersama dalam Kejohanan PGA pada Mei, dia tidak memiliki satu pun keputusan 10 terbaik selama hampir 11 bulan. – AFP< HMetro Online –
IMedikel TV






