Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
MACHANG: Dua lelaki maut dalam kemalangan membabitkan sebuah motosikal dan sebuah kereta di Kilometer 4.4 Jalan Machang–Pasir Puteh berhampiran Stesen Minyak Petronas Sungai Emas, di sini, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Machang, Superintendan Ahmad Shafiki Hussin berkata, kejadian kira-kira jam 4.25 petang itu membabitkan sebuah motosikal Yamaha Y15ZR dan kereta Perodua Kelisa.
“Siasatan awal mendapati mangsa menunggang motosikal dari arah Pasir Puteh menuju ke Machang dan dipercayai merempuh sebuah kereta Perodua Kelisa yang dipandu seorang lelaki warga emas yang keluar dari simpang di sebelah kiri jalan untuk memasuki simpang di bahagian kanan.
“Penunggang motosikal yang melalui laluan lurus tidak sempat mengelak lalu merempuh kereta tersebut.”katanya dalam kenyataan semalam.
Beliau berkata akibat rempuhan itu, penunggang motosikal dan pemandu kereta mengalami kecederaan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,”katanya.
Orang ramai yang melihat kejadian atau mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Fatin Nurhanis Ibrahim di talian 011-19454020 atau Bilik Gerakan IPD Machang di talian 09-9751222.
IMedikel TV






