Home Buletin Semasa KELANTAN PERLU HIDUPKAN KEMBALI BANDAR LAMA DAN UZUR

KELANTAN PERLU HIDUPKAN KEMBALI BANDAR LAMA DAN UZUR

282
0

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KOTA BHARU:  Kerajaan menegaskan komitmen untuk memperkukuh kemampanan bandar dan meningkatkan kualiti hidup rakyat melalui program revitalisasi bandar yang menjadi fokus utama tahun ini.

Ketua Pengarah Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia), Datuk Dr Alias Rameli berkata, usaha menghidupkan semula kawasan bandar lama dan uzur di Kelantan dilihat penting bagi memastikan bandar-bandar tersebut kekal relevan, tersusun dan mampu menjadi tarikan pelancong.

“Antara bandar lama dan uzur adalah bandar Pasir Mas dan juga Kota Bharu.

“Walaupun banyak bandar sudah melalui pembangunan tertentu, namun terdapat kawasan lama yang uzur dan perlu dipulihkan. Kita mahu bandar-bandar ini kembali segar, kemas dan cantik kerana ia boleh menjadi aset pelancongan,”katanya ketika ditemui di Majlis Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia Peringkat Negeri Kelantan Revitalisasi Bandar : Agenda Perancangan Untuk Ummah di Hotel Grand Riverview, di sini, pada Ahad.

Beliau berkata terdapat beberapa kawasan di Pasir Mas yang memerlukan pemugaran membabitkan aspek landskap seperti penanaman pokok, penyediaan laluan keluar masuk yang lebih baik serta laluan pejalan kaki.

Beliau turut menjelaskan bahawa perkembangan rangkaian Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dengan beberapa stesen di sekitar Kelantan bakal merancakkan lagi sektor pelancongan negeri

 “Kita yakin apabila ECRL siap dengan beberapa stesen di Kelantan, ia akan menarik lebih ramai pelancong. Mereka bukan sahaja datang untuk menikmati makanan atau aktiviti industri, tetapi juga untuk melihat suasana budaya kampung dan keunikan bandar-bandar tradisional,” katanya.

“Antara komponen penting dalam pelancongan ialah nilai budaya dan suasana setempat yang autentik. Pelancong, khususnya dari Kuala Lumpur, gemar melihat kawasan tradisional dengan komuniti yang masih mengamalkan semangat gotong-royong,”katanya.

Beliau berkata, Kelantan berjaya menempatkan 12 PBT itu berada dalam bandar mampan membabitkan 50 pengukuran setara dengan Selangor, Johor dan Kedah sejak 2002.

“12 PBT ini dinobatkan sebagai paras bandar mampan yang membabitkan 50 indikator termasuk aspek berkaitan guna tanah, alam sekita, komuniti sejahtera dan berkaitan strategi pelaburan,”katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here