Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
SUNGAI PETANI: Syarikat pengangkutan awam dan barangan yang masih belum memperoleh fleet card bagi penyaluran subsidi petrol RON95 tidak perlu gusar apabila Kerajaan membuka ruang permohonan tuntutan bayaran balik tunai mulai 30 September ini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata
tuntutan bayaran balik tunai melalui Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) itu diwujudkan bagi memastikan syarikat berkenaan tetap menikmati subsidi sementara menunggu pengeluaran fleet card oleh syarikat minyak.
“Sehubungan itu, Kerajaan akan membuka ruang untuk permohonan tuntutan bayaran balik tunai di bawah SKPS mulai 30 September ini.
“Kemudahan ini disediakan bagi membolehkan syarikat berkaitan membuat tuntutan perbezaan harga RON95 yang dibayar pada harga runcit tanpa subsidi dengan harga subsidi RON95 SKPS iaitu RM2.05 seliter,”katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Katanya kelayakan untuk permohonan tuntutan bayaran balik tunai RON95 pada harga tanpa subsidi di bawah SKPS itu adalah tertakluk kepada beberapa syarat yang sudah ditetapkan.
“Syarikat perlu mengemukakan rekod telah mendaftar di bawah SKPS dan telah memohon fleet card sebelum atau pada 31 Oktober ini.
“Pembayaran balik tunai ini adalah untuk tempoh pembelian petrol mulai 30 September sehingga 31 Oktober ini, atau sehingga tarikh fleet card diterima syarikat pengangkutan, yang mana lebih awal,”katanya.
Jelasnya pembayaran balik tunai akan dikreditkan ke dalam akaun bank syarikat oleh Kementerian Kewangan (MOF) dalam tempoh 15 hari bekerja selepas proses semakan selesai oleh pentadbir SKPS di KPDN.
“Permohonan bayaran balik tunai boleh dibuat melalui platform yang sama iaitu SKPS di pautan https://mysubsidi.kpdn.gov.my. Semua tuntutan bayaran balik tunai wajib disokong dengan bukti resit pembelian petrol RON95 dan dimuat naik dalam SKPS,”katanya.
Katanya setakat 25 September, sebanyak 5,233 syarikat membabitkan 12,955 kenderaan berdaftar dengan SKPS sejak pendaftaran dibuka pada 15 September lalu.KPDN sekali lagi menggesa semua syarikat pengangkutan darat awam dan barangan yang layak untuk membuat pendaftaran segera untuk mendapat manfaat subsidi bahan api petrol RON95.
IMedikel TV






