Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU:Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menggesa kerajaan menilai semula kadar elaun perbatuan khususnya bagi penjawat awam yang menggunakan kenderaan sendiri untuk tugasan rasmi.
Presiden CUEPACS, Datuk Dr Adnan Mat berkata walaupun pihaknya menyambut baik pengumuman kerajaan menurunkan harga petrol RON95 kepada RM1.99 seliter mulai 30 September ini, isu kenaikan kos perjalanan tetap membebankan apabila penggunaan melebihi kuota subsidi.
“Kami berterima kasih kepada kerajaan dengan pelaksanaan harga subsidi petrol RON95 pada RM1.99 seliter di bawah program BUDI MADANI RON95 (BUDI95).
“Namun terdapat penjawat awam yang menggunakan kenderaan sendiri untuk menjalankan tugasan di luar kawasan.
“Sebab itu kami mencadangkan supaya elaun perbatuan dinilai semula agar lebih bersesuaian dengan keadaan semasa,” katanya.
Beliau berkata demikian di sidang media selepas perasmian Persidangan Perwakilan Tritahunan CUEPACS Kelantan sesi 2025-2028 di Dewan Wawasan IPG Kota Bharu, di sini, hari ini.
Dr Adnan berkata pihaknya bimbang sekiranya terdapat penjawat awam menggunakan kenderaan secara aktif boleh mengakibatkan peningkatan dari segi penggunaan liter petrol.
“Kami belum mendapat maklumat yang lengkap dari segi harga dan kaedah pelaksanaannya.
“Cuma kami bimbang tentang kesan kepada penjawat awam yang menggunakan kenderaan sendiri untuk menjalankan tugasan di luar kawasan. Jika penggunaan melebihi had, adakah kemungkinan harga petrol akan kekal sama atau meningkat,”katanya.
Menurut beliau, Cuepacs juga sedang meneliti mekanisme lain yang boleh mengurangkan beban kos penggunaan petrol bagi penjawat awam yang menggunakan kenderaan sendiri ketika bertugas.
Jelasnya penekanan utama adalah pada semakan kadar elaun perjalanan yang sudah lama tidak disemak.
IMedikel TV






