Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
BACHOK: Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) menyasarkan pengurangan import bawang sebanyak 30 peratus menjelang tahun 2030 melalui usaha memperluas penanaman bawang tempatan di beberapa negeri berpotensi.
Ketua Pengarah MARDI, Datuk Mohamad Zabawi Abdul Ghani berkata , sasaran itu sejajar dengan matlamat kerajaan untuk mengurangkan kebergantungan terhadap import bawang, sekali gus memperkukuh sekuriti makanan negara.
“Kita hendak mengurangkan pengimportan bawang sebanyak 30 peratus iaitu sasaran minimum. Kalau dapat lebih, itu lebih baik. MARDI akan berterusan membantu petani melalui penyediaan benih sesuai dengan iklim Malaysia serta inovasi kaedah penanaman,” katanya pada sidang media selepas melawat Projek Pengeluaran Benih Bawang MARDI di Kampung Beris Lalang di sini hari ini.
Menurut beliau, ketika ini penanaman bawang sudah dijalankan di beberapa negeri termasuk Kelantan, Perak, Selangor dan Sabah, manakala kawasan baharu sedang dirancang dengan kerjasama institusi pendidikan seperti Politeknik Besut.
Beliau menjelaskan, benih bawang yang dibangunkan MARDI terdiri daripada tiga varieti iaitu Bawang 1, Bawang 2 dan Bawang 3, yang telah dinilai sesuai dengan cuaca tropika.
Walaupun tanaman bawang memerlukan cuaca panas dan kering untuk hasil optimum, pelbagai inovasi sedang diguna pakai termasuk penggunaan polibeg, kawalan kelembapan tanah dan penanaman bawah struktur pelindung hujan.
“Permintaan pasaran terhadap bawang tempatan sangat tinggi. Sebagai contoh, harga jualan bawang segar di pasaran boleh mencecah RM7 hingga RM10 sekilogram dan tetap mendapat sambutan walaupun bawang import lebih murah. Ini membuktikan potensi besar penanaman bawang tempatan,” katanya.
Beliau berkata projek perintis penanaman di Bachok menunjukkan hasil positif apabila usahawan pertama di negeri berkenaan Mohd Fauzi Abu Bakar, 43, berjaya mengusahakan lebih 10,000 polibeg selepas dibimbing MARDI sejak 2023.

“Mohd Fauzi mendapat hasil yang agak bagus dengan bermula hanya 20 kilogram (kg) benih di beberapa batas dengan hasil sekitar100kg lebih dan kini berkembang kepada 10,000 polibeg di kawasan seluas 0.324 hektar dengan hasil mencecah lima tan metrik setiap musim.
“Jadi dari sini kita akan majukan benih yang akan dihasilkan nanti kepada usahawan-usahawan di bawah Jabatan Pertanian. MARDI hanya mengeluarkan benih sahaja untuk dibangunkan,”katanya.
Menurutnya Malaysia masih mengimport hampir 100 peratus keperluan bawang merah dengan nilai melebihi RM2.6 bilion setahun.
Namun beliau berkata jika pengeluaran terus meningkat, tidak mustahil bawang segar tempatan atau produk hiliran seperti bawang goreng mampu dieksport ke pasaran antarabangsa pada masa depan.
Katanya penanaman bawang merah secara berperingkat di kawasan baharu di Beris Lalang sejak Ogos lalu dengan anggaran hasil tuaian 5,000kg pada Oktober ini.
“Penanaman ini akan dikembangkan kepada 30,000 polibeg menjelang 2026 dengan jangkaan hasil 15,000kg semusim.
“Selain itu, gabungan projek di Taman Kekal Pengeluaran Makanan Telong dan Beris Lalang dijangka membolehkan pengeluaran bening bawang merah BAW-1 mencapai 50,000kg setahun mulai 2026 mengurangkan kebergantungan negara terhadap benih import serta membina ekosistem benih tempatan yang mampan dan berdaya saing,” katanya.
IMedikel TV






