Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menggesa kerajaan menilai semula skim perkhidmatan terhadap hampir 300,000 pembantu tadbir di seluruh negara dengan menambah baik skim perkhidmatan jawatan itu.
Presiden Cuepacs, Datuk Dr Adnan Mat, berkata walaupun penjawat awam menghargai pengumuman kerajaan berhubung Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) termasuk kenaikan gaji 8 peratus pada tahun ini dan tambahan tujuh peratus bermula Januari depan, masih terdapat keperluan untuk penambahbaikan skim perkhidmatan tertentu.
“Terima kasih di atas keprihatinan kerajaan dalam membantu penjawat awam.
“Kami juga berjanji kepada rakyat dan negara serta memberi fokus terbaik.
“Namun dari segi penambahbaikan kami sentiasa melihat perlunya penambahbaikan khususnys dalam bentuk skim perkhidmatan yang sudah lama tidak dikaji,”katanya di sidang media selepas perasmian Persidangan Perwakilan Tritahunan CUEPACS Kelantan sesi 2025-2028 di Dewan Wawasan IPG Kota Bharu, di sini, pada Sabtu.
Menurutnya, Cuepacs menerima banyak suara daripada wakil kesatuan yang memperjuangkan nasib pembantu tadbir.
Justeru, pihaknya mengemukakan tiga cadangan utama bagi memastikan skim mereka setimpal dengan beban tugas semasa.
“Pertama ialah menjumudkan skim pembantu tadbir gred N1 (sebelum ini gred 19) kepada gred N5 atau gred N29 di bawah Sistem Saraan Malaysia (SSM).
“Kedua ialah memberi “one-off” kepada mereka yang mempunyai kelayakan yang lebih tinggi daripada Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) iaitu Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), diploma atau ijazah. Ini bermakna mereka yang ada kelayakan yang lebih tinggi perlu ditingkatkan skim mereka kepada N5 lebih awal.
“Ketiga ialah supaya pegawai yang sudah dilantik pada gred N1 dan genap 15 tahun berkhidmat sebagai pembantu tadbir boleh diberi pilihan kenaikan ke gred N5,”katanya.
Jelasnya selepas itu mereka diberi pilihan laluan kenaikan pangkat ke N6, N7 dan N8 kemudian, selepas bersara waran tersebut kembali semula kepada N1.
“Dengan cara itu jawatan pembantu tadbir tidak dihapuskan tetapi diberi nafas baharu dalam bentuk kenaikan pangkat kepada mereka.
“Inilah rayuan pembantu tadbir supaya menilai semula skim tersebut dan mereka sebenarnya sudah melangkaui tugas biasa sebagai pembantu tadbir,”katanya.
IMedikel TV






