Home Sukan PERATURAN LEBIH KETAT PUNCA JARINGAN JERMAN DIBATALKAN

PERATURAN LEBIH KETAT PUNCA JARINGAN JERMAN DIBATALKAN

8
0

ATLANTA: FIFA menjelaskan peraturan lebih ketat yang menyebabkan gol berpotensi menjadi gol kemenangan Jerman dibatalkan dalam penyingkiran mengejut mereka di Piala Dunia.

Memetik laporan Agensi menerusi Harian Metro, gol tandukan pertahanan Jonathan Tah pada masa tambahan ketika menentang Paraguay semalam dibatalkan selepas semakan video kerana berlaku kekasaran terhadap penjaga gol, Orlando Gill.

Tayangan ulangan menunjukkan pemain Jerman, Waldemar Anton menolak Gill sehingga terjatuh, namun sentuhan yang minimum itu mencetuskan kritikan terhadap keputusan tersebut.

Jerman kemudian tewas dalam perlawanan pusingan 32 itu menerusi penentuan sepakan penalti, dengan Tah gagal menyempurnakan sepakan penentunya apabila bola melambung melepasi palang.

Ketua pengadil FIFA, Pierluigi Collina berkata pegawai perlawanan diarahkan supaya mengambil tindakan terhadap situasi apabila pemain cuba menghalang pergerakan lawan tanpa sebarang usaha untuk bermain bola, terutamanya melibatkan penjaga gol.

“Walaupun mengekalkan posisi bukanlah satu kesalahan secara automatik, apabila pemain menyerang tidak berminat untuk bermain bola dan sengaja bergerak walaupun sedikit dengan niat jelas untuk menghalang pergerakan lawan serta menghalang mereka daripada bertahan, maka pengadil dan VAR, jika perlu, perlu menilai insiden itu dengan teliti dan campur tangan.

“Ini lebih penting apabila taktik itu bertujuan menghalang penjaga gol lawan daripada mempertahankan gawang.

“Jurulatih dan pemain telah dimaklumkan mengenai perkara ini, jadi mereka tidak sepatutnya terkejut apabila pengadil menghukum kesalahan seperti ini.”

Collina turut berkata langkah untuk membendung perbuatan melengah-lengahkan masa menunjukkan hasil yang positif.

Kini terdapat had masa untuk sepakan gol, lontaran ke dalam dan pertukaran pemain, manakala pemain yang mengalami kecederaan diwajibkan keluar dari padang selama satu minit.

“Langkah-langkah ini semuanya sangat berkesan dan secara sebulat suara dianggap sebagai inovasi yang sangat positif,” katanya. – AGENSI, HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here