Home Buletin Semasa BURUH LELAKI BEBAS TUDUHAN EDAR DADAH LEBIH 39 KILOGRAM

BURUH LELAKI BEBAS TUDUHAN EDAR DADAH LEBIH 39 KILOGRAM

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KOTA BHARU: Seorang buruh yang juga bapa kepada tujuh anak dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini atas dua pertuduhan mengedar dadah berbahaya jenis methamphetamine seberat 39367.27 gram (g), pada Jun 2021.

Hakim Mohd Rosli Yusoff membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh Amran Salleh, 53, di akhir kes pendakwaan.

Dalam penghakimannya, Mohd Rosli berkata pihak pendakwa raya gagal membuktikan hanya tertuduh yang mempunyai akses ke atas rumah tidak bernombor di Kampung Jeram Perdah, Pasir Mas, yang mana barang kes dijumpai.

“Milikan dan kawalan akses pintu rumah terbabit tidak berkunci dan sesiapa sahaja boleh masuk, malah saksi mengesahkan rumah kosong itu dijadikan sebagai tempat transit barangan salah seperti minyak masak sebelum diseludup ke Thailand.

“Oleh demikian, mahkamah memutuskan bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan kes, maka tertuduh dilepaskan dan dibenaskan tanpa perlu dipanggil untuk membela diri,” katanya.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa mengedar dadah berbahaya iaitu 9740.87 g Methamphetamine di sebuah rumah tidak bernombor Kampung Jeram Perdah, Pasir Mas lebih kurang 4.30 petang, 7 Jun 2021.

Manakala bagi pertuduhan pindaan kedua pula, dia didakwa mengedar dadah berbahaya iaitu 29626.4 g Methamphetamine di lokasi, masa dan tarikh yang sama.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39B (2) Akta sama yang memperuntukkan hukuman mati, jika sekiranya tidak dijatuhi hukuman mati hendaklah dipenjara seumur hidup dan tidak kurang 15 sebatan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nik Nur Adila Mat Zaidan manakala tertuduh diwakili peguam Tengku Shazuan Tengku Shariffudin dan Ahmad Nizam Mohamed.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here