Oleh: Wartawan IMedikel TV
JOHOR BAHRU: Taktik dua beradik menggunakan laluan laut untuk menyeludup dadah ke negara jiran terbongkar apabila mereka diberkas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) bersama rampasan syabu, pil ekstasi dan katrij vape disyaki mengandungi dadah sintetik bernilai keseluruhan lebih RM6.85 juta.
Kedua-dua suspek warga tempatan berusia 26 dan 40 tahun itu ditahan kira-kira jam 12.36 tengah malam kelmarin ketika berada di dalam sebuah bot fiber kecil di kedudukan 3.5 batu nautika tenggara perairan Tanjung Piai, Pontian.
Pemangku Pengarah Maritim Negeri Johor, Kepten Maritim Kama Azri Kamil berkata, penahanan itu dilakukan hasil risikan yang diterima pada Ahad lalu mengenai pergerakan sebuah bot fiber dalam keadaan mencurigakan di kawasan berkenaan.

“Bot ronda Maritim Malaysia kemudian digerakkan bagi melaksanakan operasi pemantauan dan pengesanan sebelum berjaya menahan bot berkenaan.
“Hasil pemeriksaan menemukan beberapa bungkusan mencurigakan yang disorokkan di bawah tempat duduk tekong serta dilindungi dengan longgokan pukat.
“Bungkusan itu mengandungi kira-kira 88.2 kilogram syabu atau methamphetamine serta 30,000 biji pil ekstasi dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM6.6 juta,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Maritim Negeri Johor, hari ini.
Jelasnya kedua-dua lelaki terbabit dipercayai menerima upah antara RM16,000 hingga RM17,000 bagi setiap penghantaran dadah ke negara jiran.
Beliau berkata, siasatan lanjut membawa kepada pemeriksaan di rumah kedua-dua suspek di Gelang Patah, Iskandar Puteri.
Katanya, pemeriksaan terhadap sebuah Perodua Myvi berwarna kuning milik suspek berusia 26 tahun menemukan 787 katrij vape yang disyaki mengandungi dadah sintetik baharu dikenali sebagai ‘Piu Piu’ dengan anggaran nilai RM196,750.
“Kenderaan itu turut disita bagi membantu siasatan. Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek menggunakan bot kecil untuk membawa keluar bekalan dadah ke negara jiran melalui laluan laut.
“Hasil siasatan juga mendapati kegiatan itu bukan kali pertama dilakukan oleh kedua-dua suspek,” katanya.
Menurut Kama Azri, keseluruhan dadah yang dirampas dipercayai mampu dibekalkan kepada hampir satu juta penagih.
Beliau berkata, rampasan itu adalah yang terbesar direkodkan Maritim Negeri Johor setakat tahun ini.

“Jumlah keseluruhan rampasan dadah termasuk katrij vape dianggarkan bernilai lebih RM6.85 juta manakala, bot fiber yang digunakan dalam cubaan penyeludupan itu turut disita dengan anggaran nilai RM90,000.
“Kedua-dua suspek direman selama tujuh hari sehingga Ahad ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Hasil saringan awal air kencing turut mendapati kedua-dua suspek positif methamphetamine,” katanya.
IMedikel TV






