KUALA LUMPUR: Empat lagi aksi Liga Super akan berlangsung malam ini dan sejurus wisel penamat dibunyikan hampir jam 11 malam, maka Liga Super musim 2024/25 akan berakhir secara rasminya.
Aksi malam ini mungkin boleh membuatkan beberapa pasukan menarik nafas lega memandangkan ia menjadi perlawanan terakhir sebelum pasukan berehat kira-kira tiga bulan sambil menanti musim baharu dijangka bermula pada Ogos depan.
Aksi terakhir ini boleh dianggap sebagai penutup kepada musim penuh ‘derita’ yang dialami beberapa pasukan seperti Kedah Darul Aman (KDA) FC, Kelantan Darul Naim FC (KDN) FC dan juga Perak FC.
KDA FC akan berdepan Terengganu FC (TFC) di tempat lawan dan mereka berdepan musim yang begitu mencabar dengan tunggakan gaji hampir setahun yang memberi kesan kepada masalah prestasi serta menjejaskan kualti permainan apabila terpaksa menggunakan pemain yang ada untuk berlatih serta turun pada hari perlawanan.
Memasuki aksi terakhir ini, KDA FC gagal menang selepas lapan perlawanan dalam semua pertandingan dengan kali terakhir mereka menang adalah ketika menumbangkan pasukan tercorot, KDN FC 1-0, Januari lalu.
KDN FC yang juga bergelut dengan masalah kewangan sehingga memaksa mereka terperosok ke dasar liga akan berdepan KL City FC dan dijangka satu lagi kekalahan akan ditelan mereka untuk menutup musim 2024/25 dengan nada menyedihkan.
Mereka tewas 14 perlawanan berturut-turut dalam semua pertandingan dan kali terakhir mereka menang adalah pada September lalu – mereka hanya mampu memenangi dua perlawanan daripada 23 aksi diharungi.
Perak FC pula menghadirkan satu lagi khabar buruk apabila dilaporkan berdepan tunggakan sehingga lima bulan dan misi mereka untuk meraih kemenangan terakhir musim ini agak sukar apabila akan menentang Sabah FC di Stadium Likas.
Jadi, ini peluang terakhir buat anak buah Yusri Che Lah membuktikan kemampuan mereka dan mungkin juga ‘memancing’ minat pasukan lain bagi mendapatkan khidmat mereka untuk musim baharu nanti.
Sementara itu, satu lagi aksi membabitkan pertembungan antara Negeri Sembilan FC dan Kuching City FC (KCFC) di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.
Skuad ‘The Cats’ sudah mengesahkan kedudukan empat terbaik dalam Liga Super dengan 36 mata namun kedua-dua pasukan pasti mahu menamatkan musim ini dengan satu lagi detik manis. – BH Online –
IMedikel TV






