KUALA LUMPUR: Sungguhpun ikatan suami isteri sudah terlerai, ia tidak bermakna hubungan kekeluargaan harus terputus.
Pelakon dan ahli perniagaan, Puteri Sarah Liyana, 40, percaya ukhuwah bersama keluarga bekas mentua, Datuk Yusof Haslam dan Datin Patimah Ismail perlu terus dipelihara dan disemai dengan kasih sayang.
Berikutan itu, Puteri Sarah yang ditemuramah pada sesi fotografi istimewa BH bersama dua anaknya, Syaikhul Islam, 8, dan Sumayyah, 6, di ibu negara, baru-baru ini, meneruskan rutin menyambut 1 Syawal di kediaman Yusof dan Patimah.
Semua ini dilakukan biarpun selepas dua tahun berpisah dengan bekas suami yang juga pengarah, Syamsul Yusof.
Puteri Sarah atau nama sebenar, Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin berkata, meraikan Aidilfitri di kediaman bekas mentua menjadi rutin buatnya, Syaikhul dan Sumayyah.
“Alhamdulillah, seperti tahun sebelumnya, saya bersama Syaikhul dan Sumayyah beraya bersama keluarga bekas mentua. Itu adalah rutin kami sekeluarga.
“Bagi saya, kami masih satu keluarga dan paling penting, saya mahu Syaikhul dan Sumayyah beraya dengan datuk dan nenek mereka. Sebelum ini, saya tinggal bersama mentua, jadi ia menjadi kemestian untuk sentiasa menziarahi mereka.
“Buat apa saya nak putuskan silaturahim biarpun sudah bercerai? Syaikhul dan Sumayyah tetap cucu mereka.
“Jadi, hubungan baik ini perlu dipelihara, malah saya juga sentiasa berkomunikasi dengan ibu dan bapa mentua. Tidak hanya pada musim raya, saya sering telefon dan bertanya khabar. Hubungan kami tidak pernah putus… Alhamdulillah,” katanya kepada BH Online.
Kongsi Puteri Sarah, sehingga kini, Syaikhul dan Sumayyah akan mencari masa untuk menziarahi serta bermalam di rumah datuk dan neneknya.
Tidak hanya itu, aktres yang memilih untuk menghayun langkah sendiri sejak berpisah pada 2023 itu bersyukur dapat mengekalkan hubungan baik bersama Syamsul demi kebaikan anak-anak.
Puteri Sarah yang anggun dalam persalinan rona merah gelap rekaan Rizman Ruzaini itu sangat mementingkan kesejahteraan anak-anak, dia mahu mereka membesar tanpa rasa kekurangan.
Puteri Sarah juga bersyukur Syamsul memberikan kerjasama dalam memelihara hubungan baik itu.
“Tiada masalah untuk saya dan Syamsul. Apa yang penting, Syaikhul dan Sumayyah dapat beraya dengan bapa mereka. Saya juga dapat teruskan kehidupan dengan baik.
“Alhamdulillah, Syaikhul dan Sumayyah sangat gembira pada Aidilfitri kali ini. Semuanya kerana saya mengelak adanya permasalahan antara kami. Saya tidak mahu bermusuhan sebab fikirkan anak-anak. Kebahagiaan mereka lebih utama.
“Tapi, tidak hanya pada musim raya, sebaliknya anak-anak tetap selalu berjumpa dengan Syamsul. Jadi, mereka tidak pernah rasa kehilangan,” katanya.
Seperti kebiasaannya, bintang drama Sekam Di Dada ini menggunakan cuti Aidilfitri untuk meluangkan lebih masa bersama anak-anak dan orang tuanya.
Untuk lebaran kali ini, Puteri Sarah memilih membawa keluarganya bercuti di Langkawi.
“Alang-alang sudah cuti sekolah, jadi saya ambil peluang bawa anak-anak dan ibu bapa bercuti. Saya mahu menggembirakan mereka, jadi saya pilih Langkawi.
“Musim perayaan memberikan ruang untuk kami meluangkan masa bersama dan bercuti,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Puteri Sarah baru sahaja selesai menjayakan drama Sekam Di Dada, kemudiannya bakal tampil dengan dua lagi drama, termasuklah Duda Private Limited. Pada masa sama, dia sibuk menguruskan perniagaannya.
Puteri Sarah meletakkan fokus membina kebahagiaan sendiri dan keluarga.
“Dalam sibuk berlakon, saya beri fokus kepada perniagaan. Alhamdulillah, dengan kerja keras, saya dapat berbakti kepada keluarga.
“Sekarang, apabila saya sudah bekerja dan ada pendapatan sendiri, saya mula kumpul aset, sesuatu yang saya tidak dapat buat sebelum ini. Sekarang, saya sedang mencari rumah untuk dijadikan aset.
“Seperti tahun lalu, saya bawa keluarga bercuti di London, England dan ia adalah hasil titik peluh saya.” katanya yang menghadiahkan kereta buat ibunya, baru-baru ini.
Puteri Sarah mendirikan rumah tangga bersama Syamsul pada 8 Mac 2014. Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan dua cahaya mata, Syaikhul Islam dan Summayah.
Rumah tangga Syamsul dan Puteri Sarah berakhir apabila pasangan itu bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada 14 Jun 2023 selepas sembilan tahun berkahwin.
Selepas bercerai, Puteri Sarah digosip dengan aktor Indonesia, Andi Arsyil Rahman selepas kerap dilihat bersama bagi urusan perniagaan. – BH Online –
IMedikel TV






