Oleh: Afrizam Arif, Imedikel TV
KOTA BHARU: Seorang pengurus besar di sebuah agensi kerajaan antara tiga pegawai kanan direman empat hari bermula hari ini hingga Khamis ini bagi membantu siasatan menerima rasuah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.
Seorang lagi pegawai kanan daripada agensi yang sama juga turut disambung reman selama tiga hari bermula esok hingga Khamis ini kerana disyaki membuat tuntutan palsu yang ditahan pada 30 April lalu.
Empat lelaki berusia lingkungan 40 hingga 49 tahun itu diperintah reman dan sambung reman yang dikeluarkan Hakim Nik Habri Muhamad.

Keempat-empat mereka direman selepas mendapat permohonan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kelantan bagi menjalankan siasatan di bawah Seksyen 17a Akta SPRM 2009 bagi ketiga-tiga mereka, manakala Seksyen 18 Akta SPRM 2009 bagi sambung reman.
Semalam, SPRM menahan tiga pegawai kanan agensi kerajaan selepas keterangan mereka diambil di Pejabat SPRM di sini antara 7.15 dan 8 malam semalam kerana disyaki menerima rasuah.
Tiga pegawai kanan jabatan itu, yang ditahan selepas dipercayai terbabit dalam kes meminta dan menerima wang rasuah bagi pelbagai projek termasuk pembekalan di negeri ini.

Manakala seorang lagi pegawai kanan agensi berkenaan ditahan pada 30 April lalu selepas disyaki membuat tuntutan palsu sejak tahun lalu.
Sebelum ini pegawai kanan terbabit telah direman selama enam hari dan tempoh tahanan reman tamat hari ini.
IMedikel TV






