Home Luar Negara PENGASUH DIDAKWA BAGI UBAT JULAP KEPADA KANAK-KANAK

PENGASUH DIDAKWA BAGI UBAT JULAP KEPADA KANAK-KANAK

236
0

Chicago: Seorang pekerja pusat jagaan kanak-kanak tergamak memberikan beberapa kanak-kanak bawah jagaannya ubat julap kunyah hanya kerana dia berasa ‘tertekan’, lapor Mirror.

Memetik laporan Agensi menerusi Harian Metro, Yizel Juarez, 23, didakwa memberikan ubat itu kepada kanak-kanak berkenaan dengan mendakwa ia adalah gula-gula supaya mereka boleh dihantar pulang.

Difahamkan, pusat jagaan itu mempunyai dasar bahawa kanak-kanak yang sakit mesti dihantar pulang dan tidak boleh kembali selama 24 jam.

Dalam pada itu, seorang ibu mendakwa, anaknya mengalami masalah perut berterusan dan tidak diberikan penjelasan oleh pihak pusat jagaan.

Menurut wanita berkenaan, anaknya yang berusia 17 bulan itu, didaftarkan sejak musim panas lalu, iaitu sekitar tempoh Juarez mula bekerja di situ.

“Kami menyangka mungkin ia adalah virus, tetapi keputusan negatif. Doktor juga menolak pelbagai penyakit dan jangkitan.

“Selama beberapa minggu, ibu bapa cuba mencari jawapan termasuk dengan menukar formula susu, tetapi ia tidak membantu,” katanya.

Menurut media sama, selepas beberapa laporan diterima, pihak polis akhirnya menemui punca masalah itu, iaitu ubat julap kunyah yang didakwa diberikan kepada kanak-kanak terbabit.

Susulan itu juga, polis mengesahkan Juarez menyerah diri dan didakwa dengan tiga pertuduhan cubaan serangan berat terhadap mangsa di bawah 13 tahun serta tiga pertuduhan membahayakan nyawa atau kesihatan kanak-kanak.

Difahamkan, terdapat tiga mangsa yang sudah dikenal pasti dan semuanya berusia di bawah dua tahun.

Juarez mengikuti pengajian pendidikan awal kanak-kanak di Northern Illinois University dan kini dipecat daripada pusat jagaan terbabit.

Pihak berkuasa kini menggesa sesiapa yang mempunyai maklumat tambahan supaya tampil ke hadapan untuk membantu siasatan yang masih berjalan. – AGENSI, HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here