Home Buletin Semasa PENGANJUR SEMARAK MERDEKA 3.0 JELI BERDEPAN SAMAN

PENGANJUR SEMARAK MERDEKA 3.0 JELI BERDEPAN SAMAN

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KOTA BHARU: Penganjur program Semarak Merdeka 3.0 Parlimen Jeli berdepan tindakan saman atau tawaran kompaun selepas membenarkan seorang penyanyi wanita membuat persembahan di pentas terbuka, sekali gus melanggar syarat permit hiburan yang diluluskan.

Program yang berlangsung di Plaza IMT-GT, Bukit Bunga, pada Ahad lalu itu menampilkan penyanyi wanita, Eda Ezrin atau nama sebenarnya Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail, yang dilaporkan menyampaikan dua lagu di pentas awam.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar, Hilmi Abdullah berkata, hasil siasatan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mendapati permohonan permit hiburan program berkenaan hanya menyenaraikan empat artis lelaki untuk membuat persembahan, termasuk dikir barat.

“Dalam siasatan kita mendapat laporan daripada PBT bahawasanya program tersebut ada permohonan permit hiburan dan disenaraikan empat orang artis, semuanya lelaki untuk membuat persembahan termasuk dikir barat.

“Itu tidak ada masalah. Yang menjadi masalah ialah apabila seorang penyanyi wanita naik ke pentas menyampaikan dua buah lagu yang mana telah melanggar syarat lesen atau permit hiburan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Mesyuarat Exco di Kompleks Kota Darulnaim, semalam, memetik laporan UPKN ketika mengulas video persembahan penyanyi wanita terbabit yang tular di media sosial.

Menurut Hilmi, pihaknya turut mengarahkan Majlis Daerah Tanah Merah (MDTM) memanggil penganjur bagi mendapatkan penjelasan berhubung pelanggaran syarat permit berkenaan.

Katanya, perkara itu turut dibentangkan dalam Mesyuarat Exco sebelum pihaknya menyerahkan kepada Penasihat Undang-Undang Negeri untuk meneliti tindakan selanjutnya.

“Kita menyerahkan kes ini kepada Penasihat Undang-Undang negeri untuk memutuskan sama ada untuk meneruskan dengan tindakan saman ataupun tawaran kompaun kerana melibatkan penganjuran oleh pihak wakil rakyat kawasan tersebut,” katanya.

beliau berkata berdasarkan ringkasan laporan dan siasatan aduan awam, program berkenaan berlangsung dari jam 12 tengah hari hingga 12 tengah malam pada 30 Ogos lalu dan membabitkan aktiviti dikir barat serta sambutan ambang merdeka.

“Permohonan permit program itu sebelum ini mendapat sokongan polis bertarikh 21 Jun 2026, manakala Mesyuarat Jawatankuasa Pelesenan, Peniaga Kecil dan Pembangunan Usahawan Bilangan 4 Tahun 2026 bersetuju memperakukan permohonan berkenaan tertakluk kepada terma dan syarat ditetapkan.

“Permit berkenaan dikenakan bayaran RM750, manakala cagaran pematuhan ditetapkan sebanyak RM1,000,” katanya.

Bagaimanapun, menurut beliau hasil aduan dan siasatan mendapati penganjur melanggar syarat am apabila membenarkan artis wanita membuat persembahan di tempat terbuka atau awam.

Eda Ezrin dilaporkan menyampaikan lagu Abe Janji dan Bey Soba Bey antara jam 11.30 malam hingga 11.40 malam di atas pentas awam.

MDTM kini dalam proses melengkapkan siasatan dan menyediakan kompaun di bawah Seksyen 13(2) berkaitan pelanggaran syarat yang ditetapkan.

“Kesalahan berkenaan boleh dikompaunkan tidak melebihi 50 peratus daripada jumlah denda RM30,000,” katanya.

Hilmi berkata, kerajaan negeri tidak menghalang penganjuran hiburan, sebaliknya menyokong aktiviti berkenaan selagi mematuhi peraturan ditetapkan.

Bagaimanapun, katanya, semua pihak termasuk syarikat pengurusan acara perlu lebih peka dan mematuhi Enakmen Hiburan dan Tempat Hiburan 2025 serta garis panduan hiburan di Kelantan.

“Kita menyokong hiburan yang menurut peraturan dan dalam masa yang sama pihak yang tidak cakna untuk mematuhi peraturan maka mereka telah melanggar enakmen hiburan yang telah diluluskan,” katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here