Home Buletin Semasa PEMAIN INDUSTRI BUKA RUANG GENERASI MUDA TEROKA STEM 

PEMAIN INDUSTRI BUKA RUANG GENERASI MUDA TEROKA STEM 

Oleh: IMedikel TV

KUALA TERENGGANU: Penglibatan pemain industri dalam pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) memberi ruang kepada generasi muda di Terengganu melihat dengan lebih dekat kaitan antara pembelajaran di dalam kelas dengan keperluan dunia pekerjaan.

Usaha itu turut diberi perhatian Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT) menerusi pendekatan terbuka yang menggalakkan pemain industri berkongsi pengetahuan, teknologi dan pengalaman dengan masyarakat, khususnya pelajar.

Ketua Pegawai Eksekutif PSKT, Mohd Huzairil Nizam Ibrahim, berkata penglibatan pemain industri penting kerana ia memberi gambaran lebih jelas kepada generasi muda mengenai peluang pendidikan dan kerjaya dalam bidang STEM.

“Kerjasama dengan pemain industri amat penting kerana ia membuka pintu kepada generasi muda untuk meneroka peluang, khususnya dalam membentuk kerjaya masa depan.

“Pada masa sama, industri turut melihat generasi baharu ini sebagai pelapis tenaga kerja yang mampu memenuhi penanda aras tinggi Revolusi Industri 4.0,” katanya.

Hadir sama Pengurus Besar PETRONAS Wilayah Pantai Timur, Mohammad Ahmad Shazly Ramli dan Setiausaha Kerajaan Terengganu, Datuk Mohd Azmi Mohamad Daham.

Katanya PETRONAS menjadi rakan strategik PSKT sejak 2023 bukan sekadar menyertai program sebagai pempamer, malah turut membawa perkongsian berkaitan teknologi minyak dan gas secara langsung kepada pengunjung.

“Pendedahan itu membantu mereka memahami bagaimana STEM digunakan dalam situasi sebenar di industri.

“Antara yang terlibat ialah Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) menerusi Festival STEM Terengganu 2026 yang berlangsung selama tiga hari dan berakhir Ahad lalu, dengan pengunjung berpeluang mendapatkan pendedahan secara langsung mengenai teknologi dalam sektor minyak dan gas,” katanya. 

Festival yang berlangsung dari 28 hingga 30 Ogos itu turut menampilkan lebih 10 acara sampingan, antaranya larian santai Luminite Walk, Terengganu Push Bike Cup dan pertandingan robotik yang menarik penyertaan keluarga serta peserta muda daripada pelbagai peringkat usia.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here