Home Hiburan FINAS ARAH PRODUKSI MADU ATAU RACUN SUNTING SEMULA 12 EPISOD

FINAS ARAH PRODUKSI MADU ATAU RACUN SUNTING SEMULA 12 EPISOD

HULU KELANG: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) mengarahkan kesemua 12 episod drama Madu Atau Racun disunting semula dan dikemukakan kepada panel penilai untuk penilaian lanjut sebelum boleh disiarkan semula.

Memetik laporan Harian Metro, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) FINAS, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib, berkata enam episod yang sudah bersiaran menerusi platform penstriman iQIYI juga perlu diturunkan buat sementara waktu sehingga proses suntingan selesai dan keputusan rasmi diperoleh.

Katanya, episod ketujuh dan kelapan yang dijadualkan bersiaran Jumaat ini juga masih tertakluk kepada kelulusan selepas proses suntingan dilakukan.

“Kita memohon iQIYI menurunkan dahulu supaya enam episod berkenaan tidak boleh ditonton sehingga kesemua 12 episod dibuat suntingan baharu dan mendapat kelulusan.

“Jika iQIYI dapat melakukan suntingan itu secepat mungkin, mungkin kita boleh benarkan mereka menayangkan semula,” katanya ketika ditemui selepas Sesi Pertemuan Ketua Pegawai Eksekutif FINAS bersama pemain industri di Dewan Samad Idris, Kompleks FINAS, di sini, hari ini.

Mengulas perspektif platform penstriman berkenaan yang mungkin menganggap kandungan terbabit sebagai perkara biasa berdasarkan latar operasinya dari China, Azmir berkata, aspek berkenaan tetap perlu diteliti berdasarkan kesesuaian dan sensitiviti masyarakat tempatan.

Beliau berkata, pihak iQIYI dan penerbit turut memohon maaf serta akur dengan nasihat panel bagi mencari titik penyelesaian berhubung isu terbabit.

“Saya juga berterima kasih kepada mereka kerana bekerjasama dalam isu ini kerana ia membabitkan sensitiviti masyarakat umum.

“Kita tahu setiap daripada kita dalam industri dan mereka yang terbabit mempunyai tanggungjawab,” katanya.

Sesi pertemuan itu turut dihadiri wakil Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) serta Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF). – BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here