Home Buletin Semasa PENDUDUK BANTAH BINA KONDOMINIUM DALAM KAWASAN INDERA MAHKOTA LIMA

PENDUDUK BANTAH BINA KONDOMINIUM DALAM KAWASAN INDERA MAHKOTA LIMA

Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV

KUANTAN: Penduduk Taman Perumahan Indera Mahkota Lima, di sini, membantah cadangan pembinaan kondominium mewah setinggi 25 tingkat dalam kawasan perumahan mereka bagi mengelak berlakunya pelbagai masalah jangka panjang.

Antara kesulitan utama yang akan berlaku ialah kesesakan lalu lintas selain tempatan meletak kenderaan terutama apabila sebanyak 400 unit kediaman disediakan di situ.

Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Indera Mahkota Lima, Datuk Dr Johan Mat Shah berkata, kawasan cadangan pembinaan kediaman berkenaan yang terlalu sempit turut akan mengundang keadaan tidak selesa penduduk setempat.

Menurutnya, pelan asal kawasan pembinaan terbabit merupakan lot komersil yang hanya dibenarkan membina bangunan tidak lebih tiga tingkat bersesuaian dengan keluasan lokasi berkenaan yang terletak bersebelahan dengan bangunan kedai dan masjid.

“Sekiranya projek pembinaan kondominium setinggi 25 tingkat itu diteruskan, risiko kerosakan struktur rumah penduduk sedia ada akan berlaku terutama disebabkan kerja pembinaan cerucuk atau tiang pancang dilakukan. Kini terdapat 1,250 penduduk Indera Mahkota Lima.

“Saya bagi pihak penduduk berharap pihak berkuasa bertindak tegas dengan tidak membenarkan projek pembinaan kediaman mewah itu diteruskan demi kepentingan penduduk setempat.

“Kami tidak sanggup terus menerus berhadapan kesulitan sekiranya projek berkenaan menjadi kenyataan, pelbagai masalah akan muncul apabila lebih ramai penduduk menetap dalam kawasan sempit,” katanya, di sini.

Katanya kemuncak bantahan penduduk apabila mereka mengadakan perhimpunan secara aman sebagai bukti membantah cadangan membinaan kondominium mewah setinggi 25 tingkat yang menyediakan sebanyak 400 unit kediaman.

Beliau menambah, taman perumahan Indera Mahkota Lima kini tiada kemudahan riadah dan dewan, dengan terdirinya kediaman mewah itu nanti akan mengundang tempat tinggal yang tidak selesa.

Bagi Pengerusi Masjid AlMuhajirin Indera Mahkota Lima, Datuk Idros Yahya, dengan adanya kondominium mewah setinggi 25 tingkat itu turut mengundang gejala sosial yang tidak diingini serta tidak terkawal berikutan jumlah penduduk yang ramai dan padat.

“Kepadatan penduduk yang tinggi sudah pasti menjejaskan keharmonian dan keselamatan persekitaran malah impak secara tidak langsung kepada murid sekolah berhampiran.

“Sekiranya apa yang dirancang itu menjadi kenyataan, kami penduduk Taman Indera Mahkota Lima terpaksa mengeluarkan kos bagi pembinaan pagar yang lebih selamat untuk keselamatan skim kediaman kami,” katanya.

Beliau berkata, keselesaan dan nilaian harta skim kediaman penduduk setempat secara tidak langsung akan terkesan selepas ini.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here