Home Sukan KERR TERUS PERKUKUH STATUS JAGUH DENGAN EMAS

KERR TERUS PERKUKUH STATUS JAGUH DENGAN EMAS

GLASGOW: Jaguh Scotland, Josh Kerr membuktikan statusnya sebagai bintang utama Sukan Komanwel apabila menghadiahkan pingat emas acara sebatu (mile) di laman sendiri, sekali menjadi tumpuan utama aksi hari Sabtu yang menyaksikan sebanyak 44 pingat emas dipertandingkan.

Memetik laporan AFP menerusi Harian Metro, Kerr hadir ke Glasgow dengan reputasi tinggi selepas memecahkan rekod dunia acara sebatu bulan lalu menerusi catatan 3 minit 42.66 saat (s) di London, sekali gus menamatkan rekod legenda Maghribi, Hicham El Guerrouj yang bertahan selama 27 tahun.

Walaupun mencatat masa 12s lebih perlahan berbanding rekod dunia itu, pemenang pingat perak Olimpik berkenaan tampil cukup dominan sebelum meraikan kejayaannya bersama penyokong sebaik melintasi garisan penamat.

“Ini adalah kejohanan paling penting buat saya musim ini.

“Saya tidak memberikan persembahan yang saya mahukan pada edisi 2022 dan saya rasa penyokong Britain berhak menyaksikan aksi lebih baik daripada saya. Jadi, saya memang berhutang dengan mereka,” kata Kerr yang sekadar menamatkan saingan di tempat ke-12 di Birmingham empat tahun lalu. 

Pingat perak dimenangi Cameron Myers dari Australia, manakala Timothy Cheruiyot dari Kenya membawa pulang gangsa. Seorang lagi pelari Scotland dan bekas juara dunia, Jake Wightman, gagal menamatkan perlumbaan dalam kelompok tiga terbaik. 

Australia menguasai acara sebatu wanita apabila Abbey Caldwell mengetuai kedudukan satu, dua dan tiga di depan Jessica Hull serta Claudia Hollingsworth.

Dalam acara 5,000 meter (m) lelaki, Mathew Kipsang dari Kenya melakukan pecutan bertenaga pada pusingan terakhir untuk meraih emas sekali gus menggagalkan hasrat Ky Robinson dari Australia memburu gelaran berganda selepas memenangi 10,000m.

Robinson meraih perak, manakala Gulveer Singh dari India menambah gangsa selepas sebelum ini memenangi perak acara 10,000m.

Australia turut meraih emas acara berganti-ganti 4x100m lelaki menerusi gandingan Lachlan Kennedy, Joshua Azzopardi, Calab Law dan Rohan Browning dengan catatan 38.07s.

Pada mulanya, Kanada dilihat menamatkan perlumbaan di tempat kedua, namun dibatalkan penyertaan menyebabkan Nigeria dinaikkan ke kedudukan perak, manakala Ghana memperoleh gangsa.

Dalam sesi petang, Samuel Ogazi memenuhi ramalan apabila menghadiahkan emas acara 400m lelaki buat Nigeria.

Ogazi, yang mencatat masa keempat terpantas sepanjang zaman dalam acara itu awal tahun ini, meninggalkan jauh pencabarnya sebelum menewaskan Jereem Richards dari Trinidad dan Tobago serta Zakithi Nene dari Afrika Selatan.

“Saya tidak mahu datang ke sini dan mengecewakan sesiapa. Saya hanya perlu melakukan apa yang saya mampu.

“Mungkin emas Olimpik, emas Kejohanan Dunia dan menjadi atlet terhebat sepanjang zaman. Itulah sasaran saya,” kata Ogazi.

Dejeanea Oakley turut mendominasi acara 400m wanita untuk menghadiahkan satu daripada lima emas trek buat Jamaica pada hari sama.

Jamaica turut muncul juara acara 4x100m wanita serta final sulung 4x400m campuran.

Navasky Anderson menjuarai acara 800m lelaki, manakala Jordan Scott memenangi lompat kijang lelaki.

Australia menambah dua lagi emas menerusi Matthew Denny dalam acara lempar cakera dan Kurtis Marschall dalam lompat bergalah. – AFP, HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here